Pergerakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung sebuah blog menyiarkan artikel "SPRM Kelantan Pro Pas: Siasatan Kes Nik Aziz Terbengkalai".
Ketuanya, Anuar Sapian berkata pergerakan itu membuat laporan itu kerana mahu SPRM menyiasat dakwaan itu kerana SPRM merupakan sebuah badan bebas.
"Kita mohon Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya mengambil tindakan terhadap apa yang didakwa di dalam laman blog berkenaan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahya menafikan dakwaan bahawa suruhanjaya itu tidak melakukan siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan menteri besar Kelantan itu.
Sebaliknya, kata beliau, SPRM Kelantan telah selesai menjalankan siasatan kes tersebut dan kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
"SPRM Kelantan sudah selesai menjalankan siasatan kes rasuah membabitkan menteri besar Kelantan itu Januari lalu.
"Sekarang, kita kena tunggu dan terpulang kepada Pendakwa Raya sama ada mahu melakukan pendakwaan atau tidak," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
- Bernama