Kira-kira 30 pemimpin Pakatan Rakyat dan kumpulan NGO, gagal menyerahkan kepada menteri dalam negeri, memorandum berhubung pendedahan seorang wanita malang, Norizan Salleh yang mendakwa ditembak anggota keselamatan secara salah.
Mereka sampai ke pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada kira-kira jam 11.30 pagi.
Kemudian, seorang pegawai berbaju batik - yang hanya dikenali sebagai Azmi - turun menemui mereka di lobi bangunan itu untuk menerima memorandum tersebut bagi pihak menteri.
Bagaimaan berlaku sedikit kekecohan apabila peguam Norizan - N Surendran - dan wakil Pakatan Rakyat, berkeras untuk menemui sendiri menteri atau timbalannya.
"Kalau kita bagi pada kamu, kamu tidak akan ambil tindakan. Kita mahu beri pada menteri," kata Surendran.
Pengarah komunikasi PKR, Lateefa Koya, pula berkata mengapa menteri masih tidak mengambil peluang tersebut untuk menemui mangsa, supaya beliau boleh melihat sendiri apa yang telah terjadi.
Setelah diasak bertubi-tubi, pegawai berkenaan - yang enggan memberitahu nama dan jawatannya - hanya berulang kali bertanya: “Mana memorandum?”
Norizan, 30, turut sama hadir pagi ini. Berikutan itu, Azmi pun beredar dari situ dan menaiki lif.
Pemergiannya itu diiringi laungan “sombong” daripada kumpulan tersebut.
Norizan, sebelum ini dilaporkan mendakwa ditembak lima kali di bahagian dada dan tangan di sebuah lebuh raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Segambut.
Dalam sidang media di ibu pejabat PKR sebelum ini, ibu tunggal itu dilaporkan mendakwa, akibat serangan tersebut, beliau cedera parah dan terlantar di hospital lebih dua minggu bawah pengawasan polis.
Beliau juga dilaporkan mendakwa terpaksa menanggung kos rawatan perubatan berjumlah hampir RM20,000.
Sementara itu, kira-kira 10 minit kemudian, kumpulan tersebut keluar dari bangunan KDN dan mengadakan sidang akhbar.
Di luar, sekali lagi berlaku kekecohan kecil apabila kumpulan tersebut dihalang dua anggota polis daripada mempamerkan kain rentang masing-masing.
Antara pemimpin Pakatan lain yang hadir: Exco Kerajaan Selangor Rodziah Ismail; ahli parlimen Ampang dan ketua wanita PKR Zuraida Kamaruddin; ADUN Teratai dan timbalan ketua Pemuda DAP Jenice Lee serta Ahli parlimen Kapar S Manikavasangam.
Dalam sidang media itu, Surendran berkata, pihaknya mahu menyerahkan memorandum tersebut kepada menteri berkenaan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri kerana anak guamnya telah melakukan pelbagai usaha bagi mendapatkan keadilan tetapi gagal.
“Kita sudah hantar memorandum kepada pihak polis, kita sudah buat laporan polis, kita sudah laporkan kepada Suhakam, tetapi tiada sebarang tindakan diambil,” katanya.
Surendran dan pemimpin Pakatan yang hadir menyatkan kekesalan terhadap layanan KDN hari ini yang disifatkan sebagai “sombong” kerana tidak mahu berjumpa walaupun mangsa sendiri hadir menyerahkan memorandum kepadanya.
Kumpulan itu malah menunjukkan sebuah kereta kepada wartawan yang didakwanya kereta timbalan menteri bagi membuktikan kehadirannya di ibu pejabat KDN pada masa itu.
Sementara itu, Norizan yang hadir dengan keadaan lengan masih berbalut berkata, beliau tidak memahami kenapa kejadian tersebut menimpanya sedangkan beliau tidak pernah mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Saya datang ke sini, saya kesal sangat. Harap dapat berjumpa dengan menteri dan meminta penjelasan,” katanya.
Ekoran insiden yang mencederakan lengannya itu, beliau berkata tidak tahu bagaimana hendak membayar kos rawatan perubatannya selepas terlantar di hospital dan Institut Jantung Negara (IJN) selama 14 hari.
“Hendak tanggung diri sendiri pun (selepas ini) saya tidak tahu macam mana,” katanya.
Manakala Manikavasangam pula berkata mereka akan menyerahkan memorandum itu kepada menteri berkenaan bila parlimen bersidang mulai 15 Mac ini.
"Di parlimen, dia tidak boleh lari," katanya.
Pihak berkenaan enggan mendedahkan kandungan memorandum tersebut buat masa ini kerana ia belum berjaya diserahkan kepada Hishammuddin.