Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemandu teksi dituduh bunuh rakyat M'sia
Diterbitkan:  Feb 24, 2010 10:42 AM
Dikemaskini: 7:19 AM

Seorang pemandu teksi kelahiran Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Burwood, Sydney, hari ini kerana dituduh membunuh rakyat Malaysia, Mohd Shah Saemin pada Ahad lalu.

Hazairin Iskandar, 55, dituduh membunuh Mohd Shah, 43, seorang pemandu di pejabat Konsul Malaysia, di luar rumah Mohd Shah di Lebuh Marion di Leichhardt di barat Sydney, demikian menurut laporan Australian Associated Press .

Mohd Shah yang berasal dari Melaka, ditikam dan dibelasah dengan tukul besi dan meninggal dunia di kaki lima. Kejadian dilaporkan berlaku di hadapan orang ramai.

Majistret Christopher Longley tidak membenarkan Iskandar diikat jamin dan menetapkan agar kes itu didengar di Mahkamah Tengah Sydney pada 20 April ini.

Menurut laporan, polis sedang mencari seorang lagi lelaki berhubung kes itu.

Iskandar ditahan di rumahnya di Croydon semalam bersama seorang wanita yang kemudiannya dibebaskan.

Isteri Iskandar bekerja bersama dengan Mohd Shah, seorang duda yang telah menetap di Australia sejak 10 tahun lalu.

Mohd Shah yang tinggal di Australia sejak beberapa tahun lalu, kini menjadi warga Australia dan bekerja sebagai pemandu di pejabat Konsul Malaysia di Sydney.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra Ahmad Fadil Shamsuddin berkata mayat Mohd Shah akan tiba di Kuala Lumpur sama ada pada esok atau Jumaat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS