Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini menyerahkan satu permohonan kepada Ketua Polis Negara bagi membolehkan peguam menemui 12 orang tahanan ISA yang ditahan sejak sebulan lalu.

Permohonan itu merupakan susulan daripada satu permohonan sama yang dibuat dua minggu lalu oleh peguam, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan tarikh 10 Mac bagi mendengar kes habeas corpus tahanan terbabit.

NONE Dua belas orang yang ditahan itu adalah antara 50 orang yang ditahan di Sungai Cincin, Gombak bulan lalu. Bagaimanapun, 38 daripadanya telah dibebaskan tidak lama kemudian.

GMI telah mengenal pasti identiti sembilan daripada 12 yang ditahan itu - seorang daripadanya rakyat Malaysia, manakala selebihnya rakyat Syria, Yaman, Nigeria dan Jordan.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata peguam perlu diberikan peluang untuk bertemu anak guam mereka secepat mungkin bagi memastikan keadaan tahanan berkenaan dan mendapatkan arahan lanjut.

"Pihak polis masih melengahkan pemberian hak ini sedangkan sangat penting untuk peguam bertemu dengan tahanan bagi kes habeas corpus, lebih-lebih lagi sekarang ada rancangan kerajaan menghantar pulang tahanan warga asing ke negara asal mereka," katanya.

NONE Beliau bercakap kepada media selepas menyerahkan surat permohonan tersebut di Bukit Aman pagi ini. Surat permohonan itu diterima Cif Insp Md Zaki Abu Bakar daripada jabatan perhubungan awam selepas satu perbincangan kira-kira 15 minit di pintu masuk ibu pejabat PDRM itu.

Menurutnya lagi, tempoh penahanan bawah Seksyen 73 ISA yang membolehkan penahanan selama 30 hari berakhir hari ini dan pihak polis perlu membuat permohonan baru untuk melanjutkan penahanan sehingga 60 hari bawah Seksyen 8 akta tersebut.

"Tapi kita bimbang nanti mereka akan dihantar pulang sebelum cukup 60 hari, tanpa berpeluang untuk bertemu dengan peguam," katanya lagi.

Md Zaki sebelum itu dalam perbincangannya dengan Syed Ibrahim berkata beliau akan menyerahkan surat permohonan itu kepada Tan Sri Musa Hassan.

"Selepas itu (Musa) akan bertemu dengan menteri dalam negeri. Sekiranya menteri beri kebenaran, barulah peguam dapat berjumpa tahanan," katanya kepada Syed Ibrahim.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan serta dua orang peguam, Syahredzan Johan dan Daniel Albert yang mewakili Majlis Peguam.

ADS