Pertandingan bagi jawatan ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Jumaat depan tidak menjadi kenyataan apabila pencabarnya, Abdul Karim Rahman Hamzah, yang juga ADUN Asajaya, menarik diri.
Berikutan itu, Fadillah Yusof yang juga timbalan menteri sains, teknologi dan inovasi, mengekalkan jawatan tersebut tanpa bertanding.
Abdul Karim berkata beliau telah menghantar surat kepada pengerusi jawatankuasa pemilihan parti mengenai keputusannya itu yang dibuat dalam semangat setiakawan selepas mendapat pandangan pemimpin atasan.
"Tidak ada desakan (dari mana-mana pihak). Keputusan adalah dibuat secara konsensus demi kepentingan parti, lebih-lebih lagi kita akan menghadapi pilihan raya negeri dan tidak menimbulkan sebarang masalah," katanya kepada pemberita di Kuching.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Ahli Tertinggi PBB, yang dipengerusikan oleh Presiden PBB Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Abdul Karim berkata beliau bagaimanapun akan bertanding jawatankuasa ahli majlis tertinggi parti.
Abdul Karim yang sebelum ini berkata beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu atas permintaan pemimpin muda di peringkat akar umbi, berharap sayap Pemuda akan terus mendukung dan membawa PBB ke peringkat yang lebih tinggi di bawah kepimpinan Fadillah.
Sementara itu, Fadillah, yang juga ahli parlimen Petra Jaya, mengucap terima kasih kepada Abdul Karim dan juga pucuk kepimpinan yang memberi pandangan berhubung perkara itu.
"Kami merupakan satu keluarga dan inilah semangat sistem nilai yang ada dalam PBB," katanya sambil menyifatkan Abdul Karim sebagai kawan karibnya. Fadillah menjadi ketua Pemuda PBB sejak 2007.
- Bernama