Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi selar ahli parlimen Australia
Diterbitkan:  Feb 19, 2010 7:07 PM
Dikemaskini: 11:28 AM

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyelar tindakan beberapa anggota parlimen Australia untuk campur tangan dalam kes liwat melibatkan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau mahu perkara itu diselesaikan mengikut sistem kehakiman negara ini tanpa dipengaruhi oleh mana-mana anasir luar.

pas seminar 071109 hadi awang "Dari segi campur tangan asing, saya sebagai rakyat Malaysia, saya mahu negara kita menjadi sebuah negara yang berdaulat dan tidak perlulah kepada campur tangan asing apatah lagi dari negara-negara barat, negara bukan Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan himpunan pemuda Islam Kuala Terengganu di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Baru-baru ini, 50 penggubal undang-undang Australia itu telah meminta Malaysia menggugurkan pertuduhan yang melibatkan Anwar itu. Tindakan mereka ini dikecam hebat oleh pelbagai pihak di negara ini kerana dilihat cuba mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata PAS tidak bercadang untuk mengemukakan sebarang bantahan berhubung campur tangan anggota Parlimen Australia itu.

Beliau mencadangkan agar badan kehakiman negara ini diletakkan di bawah parlimen atau Majlis Raja-raja bagi mengelak badan itu dipengaruhi oleh mereka yang berkepentingan.

Mengenai cadangan PAS untuk menjalin kerjasama dengan Umno dalam isu-isu keselamatan, ekonomi, agama dan politik, Abdul Hadi berkata PAS sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarang bentuk muzakarah dengan Umno.

"Kita bersikap positif sepanjang masa dalam perkara yang positif, yang baik dan kita akan bekerjasama," katanya.

Bagaimanapun, menurut Abdul Hadi, kerjasama untuk membentuk kerajaan perpaduan seperti yang pernah dicadangkan dahulu tidak akan berlaku.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS