Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dengan berlinangan air mata, Bashirah Abdul Salam - seorang rakyat Nigeria - merayu kepada Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Siva Subramaniam supaya membantu membebaskan suaminya yang kini ditahan bawah ISA.

NONE Bashirah, 27, (foto - berpurdah) berkata suaminya itu, Luqman Abdul Salam, tidak bersalah dan oleh itu, pelajar warga Nigeria itu tidak wajar ditahan.

"Tolonglah, bebaskan suami saya supaya dia dapat meneruskan pengajian dan menjaga kami sekeluarga," katanya yang hadir bersama Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) yang menghantar memorandum bantahan kepada Suhakam pagi ini.

Luqman adalah antara 12 orang yang ditahan pada 21 Januari lalu selepas serbuan dilakukan ke atas sekumpulan 50 orang yang sedang mengikuti satu kuliah agama di sebuah apartmen di Gombak, Selangor. Tiga puluh lapan daripadanya sudah dibebaskan.

"Saya harap pihak berkuasa dapat mengembalikannya semula. (Luqman) perlu diberi peluang untuk meneruskan pengajiannya dan mempertahankan diri (di mahkamah)," kata Bashirah yang memangku anak perempuannya.

NONE Sementara itu, Abdul Ghani Luqman (kanan) - adik ipar Hassan Barudi dari Syria - berkata dia sendiri tidak pasti mengapa saudaranya itu ditahan di bawah ISA sedangkan mereka hanya menghadiri satu kuliah agama.

"Kami sedang berkumpul selepas solat Isya di ruang tamu apartmen ketika diserbu sepasukan polis," kata Abdul Ghani. Hassan adalah pelajar sebuah kolej swasta di Petaling Jaya.

"Saya juga ditahan tapi dibebaskan semula pada pukul 3 pagi. Sehingga sekarang kami tidak diberitahu apakah sebab kami ditahan.

"Kami hanya mengikuti kuliah berdasarkan kitab Imam Al-Bukhary, tiada langsung kaitan dengan pengganas," katanya lagi.

Tambahnya, kuliah di premis yang dinamakan Darul Ilmu itu disampaikan oleh Sheikh Aiman Al Dakkak, seorang pelajar peringkat ijazah kedoktoran di sebuah universiti tempatan, yang turut ditahan di bawah ISA.

"Setakat ini belum ada mana-mana pihak berkuasa yang menghubungi kami. Semasa kami ditahan, itulah kali terakhir saya bertemu dengan Hassan. Saya mahu tahu apa yang berlaku kepada dia sekarang," kata Abdul Ghani lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS