Proses perundangan yang sedang dilalui Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes pertuduhan liwat yang dihadapinya akan diteruskan kerana Malaysia mengamalkan sistem menghormati undang-undang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Dalam soal sebegini, kita tidak boleh menghukum mengatakan Anwar bersalah atau tidak, kerana mahkamah yang akan memutuskannya," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan di Putrajaya hari ini.
Beliau ditanya mengenai saranan pakatan pembangkang agar sidang khas Dewan Rakyat diadakan bagi membincangkan usul menggugurkan pendakwaan kes liwat terhadap Anwar.
Muhyiddin ( atas ) berkata beliau hairan dengan cadangan itu kerana ia dibuat oleh mereka yang kononnya tahu tentang amalan demokrasi di negara ini.
Beliau berkata kes itu telah berada di peringkat mahkamah dan ia bidang kuasa yang berbeza daripada legislatif.
"Bagaimana Lim Kit Siang (penasihat DAP, gambar kanan ) mahu mencadangkan agar legislatif mempengaruhi kedudukan kehakiman. Ini sudah jadi kacau," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata beliau melihat pakatan pembangkang sudah agak bercelaru dan rasa kedudukan mereka agak tergugat tetapi perkara seperti itu tidak boleh dipolitikkan.
"Perkara itu sudah sampai di peringkat mahkamah, dan biarlah mahkamah menjalankan tanggungjawabnya dan kita perlu menghormatinya.
"Kita juga jangan menjatuhkan hukuman awal-awal, seolah-olah orang itu sudah bersalah atau tidak bersalah. Saya fikir ahli Parlimen tahu di mana peranan ahli Parlimen dan di mana peranan hakim dan mahkamah.
"Kenapa perlu dicampur adukkan kerana ia akan membawa kekeliruan kepada negara," katanya.
Mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John Kerry yang mahukan kes pertuduhan terhadap Anwar itu dilakukan secara adil, Muhyiddin berkata walaupun pihak luar berhak memberi pandangan tetapi rakyat Malaysia lebih berhak untuk menjunjung institusi keadilan dalam negara sendiri.
Beliau berkata jika Malaysia tunduk kepada perkara seperti itu, bermakna bukan sahaja ia menunjukkan negara ini lemah tetapi telah lari daripada dasar dan amalan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata sidang khas Parlimen bagi membincangkan usul untuk menggugurkan dakwaan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang tidak berasas.
Perdana Menteri berkata perbicaraan kes liwat berkenaan bukanlah "perbicaraan politik", sebaliknya ia adalah "perbicaraan peribadi".
"Ia tidak melibatkan soal dasar kerajaan, tidak melibatkan apa nama pendirian kerajaan pun, ini soal seseorang (Mohd Saiful Bukhari Azlan) yang telah membuat aduan, yang bekerja di pejabatnya sendiri (sebelum ini), ini urusan peribadi sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Umno Pahang, di Bandar Jengka, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang meminta satu sidang khas Dewan Rakyat diadakan kerana kes itu disifatkan Lim telah menjadi bahan jenaka masyarakat dunia.
Mengulas lanjut berkenaan sidang khas, Najib berkata: "hanya perkara berhubungan kepentingan nasional, ini merupakan perkara peribadi dan tidak kena mengena langsung dengan kerajaan ".
Najib berkata kes liwat berkenaan bukan boleh dibincangkan di sidang Parlimen kerana kes itu kini sedang dibicarakan.
"Ini bukan soal tidak boleh tentukan (sidang khas), ini soal peribadi, personal dan kes telah masuk ke mahkamah dan tidak boleh ditarik balik," katanya.
"Ini tidak melibatkan kerajaan, ini sebenarnya soal antara Saiful dan Anwar Ibrahim, jadi apa-apa pun dia kena selesai antara dia berdua, tidak libatkan kerajaan, itu yang saya katakan, ini bukan political trial," katanya.
Anwar, 63, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Anggota Parlimen Permatang Pauh dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 25, di Bukit Damansara pada 26 Jun, 2008.
Najib berkata apa yang dilakukan pihak pembangkang itu kini ialah mereka cuba mengalihkan tumpuan terhadap kes itu dan menggambarkan seolah-olah ia satu perbicaraan politik.
Mengulas mengenai tindakan 50 Anggota Parlimen Australia yang membantah perbicaraan kes itu, Najib berkata kerajaan akan memberikan penjelasan kepada mereka.
"Kita kena terangkan, mereka tidak mendapat maklumat yang sebenarnya, mereka (hanya) dapat (maklumat) dari pembangkang," katanya.
- Bernama