Ahli parlimen PKR Zulkifli Noordin telah “melarikan diri” ke Korea Selatan bagi mengelakkan dirinya daripada bersemuka dengan jawatankuasa disiplin parti itu.
Timbalan presiden, PKR, Dr Syed Husin Ali ( kiri ) hari ini berkata Zulkifli seringkali memberi pelbagai alasan dan meletakkan kepentingan peribadinya mengatasi hal ehwal parti.
"Zulkifli telah ke Korea Selatan atas urusan peribadi dan bukannya dihantar oleh parti. Parti tidak mengetahui tentang lawatannya itu. Dia tidak memberitahu lembaga disiplin berhubung lawatan itu. Dia juga tidak pernah mencadangkan tarikh lain bagi mendengar kesnya itu,” katanya.
Menurut Syed Husin, tindakan Zulklifi itu bukannya sesuatu yang mengejutkan. Dalam kes sebelum ini, dia juga pernah memberi alasan yang kononnya berada di luar Kuala Lumpur dengan tujuan untuk mengelakkan perjumpaan dengan jawatankuasa disiplin pada hari yang ditetapkan.
"Zulkifli telah memberi keutamaan terhadap program peribadinya di Korea Selatan daripada menghadiri perjumpaan dengan jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan dirinya. Dia sepatutnya mempertahankan dirinya dan tidak menyalahkan sesiapa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Menurut Syed Husin lagi, ahli parlimen dari Kulim Bandar Baharu itu juga masih gagal menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh parti itu kepadanya pada 8 Feb lalu.