Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menafikan bahawa pemimpin pergerakan tersebut dipanggil menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini ekoran dakwaan berlakunya pergolakan dalaman.

"Perjumpaan dengan perdana menteri ini hanyalah kebetulan selepas berlakunya beberapa perkara dalam Pemuda Malaysia. Kita tidak membangkitkan isu tersebut.

"Hari ini kita bincang hala tuju Pemuda. Soal mesyuarat Pemuda sebelum ini tidak berbangkit. Kami (anggota Pemuda) bersatu-padu," katanya selepas mengetuai pertemuan dengan Najib di Putrajaya petang ini.

Khairy diminta mengulas spekulasi tersebut selepas sebuah portal berita hari ini yang melaporkan, dakwaan 'pergolakan' dalaman Pemuda Umno akan dibangkitkan dalam pertemuan dengan Najib hari ini.

Selepas pertemuan hampir dua jam itu, Khairy berkata, Najib sebagai presiden Umno juga sekali lagi menafikan terdapat krisis kepercayaan terhadap kepimpinannya.

"Tiada kena mengena dengan mesyuarat exco yang lepas. Ini bukan pertemuan untuk menghentikan krisis sebab memang tiada krisis," tegasnya yang juga ahli parlimen Rembau.

Sementara itu, dalam pertemuan itu juga, Khairy berkata, Najib memintanya "mendapatkan idea-idea daripada golongan pemuda untuk disalurkan kepada kerajaan."

"Perdana menteri ulangi dalam mesyuarat tersebut, zaman kerajaan tahu segalanya sudah tamat," katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, pihaknya akan menggerakkan agenda tersebut dengan secepat mungkin, dijangka dalam tempoh dua atau tiga bulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS