Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang memancing pada petang Ahad lalu di Pantai Rusila, Marang bersama dua orang anaknya apabila beliau mendengar jeritan meminta tolong.
Lantas, beliau bersama anaknya berusia 20-an itu, terjun ke laut untuk menyelamatkan seorang lelaki yang nyaris lemas ketika mandi di pantai berkenaan.
Ini diceritakan oleh Herman Shamsudeen, timbalan ketua pemuda PAS Wilayah Persekutuan, yang juga menulis mengenai perlakuan 'hero' Hadi di blognya.
Selain sedikit butiran umum mengenai kejadian tersebut, Herman turut memuatkan dua keping gambar yang dirakam oleh seorang individu pada masa itu.
"Saya dapat gambar ini melalui seseorang melalui Facebook . Itu memang gambar (Hadi), susah sikit untuk dikenali sebab dia tidak memakai serban," kata Herman ketika dihubungi.
Salah sebuah foto berkenaan (kiri) menunjukkan Hadi - berbaju kemeja-T, berkain pelikat sambil duduk berlunjur di atas pasir pantai.
Di sebelah Hadi itu pula duduk seorang lagi lelaki yang dikatakan sebagai mangsa kejadian tersebut.
Herman bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu yang menghantar gambar berkenaan kepadanya.
Menurut Herman lagi, Hadi, 63, ternyata masih gagah dan mampu bertindak pantas semasa menyelamatkan mangsa tersebut.
"Memang tidak disangka, seorang pemimpin yang punyai ramai pengikut sanggup terjun ke laut sendiri tanpa mengharapkan anak-anak buahnya mendahuluinya.
"Selalunya, orang-orang besar dan pemimpin utama akan suruh anak buah mereka terjun untuk selamatkan mangsa," kata Herman dalam tulisannya.
Dalam catatan tambahan dalam tulisan tersebut, beliau juga memohon maaf kerana menyiarkan dua keping foto tersebut.
"Tok Guru pasti marah kalau tahu ana siarkan gambar dan tulis macam nie. Ana minta maaf pada dia.
"Beliau tidak suka perkara ini dibesarkan, tapi itulah hakikat dirinya yang kita kena tahu. Semoga kita dapat mencontohi beliau," katanya.