Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pusat digesa kembalikan aset, pengurusan air S'gor
Diterbitkan:  Feb 16, 2010 6:18 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mengulangi desakan kepada kerajaan pusat supaya berlaku adil dan profesional dengan mengembalikan aset dan pengurusan air kepada kerajaan Selangor

"Pelaksanaan ini perlu disegerakan kerana ia melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat Selangor keseluruhannya," ketua penerangannya, Mohd Ezli Mashut.

Beliau juga mendesak kerajaan pusat supaya tidak berdolak-dalik dan melambat-lambatkannya "kerana air adalah keperluan untuk semua".

"Rakyat Selangor menyedari pengurusan aset dan air perlu dilaksanakan dengan bijak, telus dan professional.

"AMK Selangor mahu pengurusan aset dan air di Selangor dikembalikan untuk memastikan agenda 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' berjalan lancar dan kebajikan rakyat terus terjamin," kata Mohd Ezli dalam satu kenyataan.

AMK Selangor, katanya, yakin dengan kerajaan negeri Selangor yang mempunyai halatuju jelas dan mantap bagi memastikan kebajikan rakyat terjamin, khususnya untuk menikmati air percuma 20ml padu dan pada harga yang munasabah.

"Sebelum ini kerajaan BN tidak mempunyai perancangan besar agar harga air terus stabil, malahan bertindak menyebabkan harga semakin meningkat dari masa ke semasa.

"Justeru, kerajaan pusat perlu bertindak adil dan mementingkan kebajikan rakyat Selangor serta fokus ke arah mewujudkan industri air yang memberi manfaat kepada rakyat Selangor dan tidak kepada segelintir korporat sahaja.

"Pengurusan air perlu dimantapkan dan terus dipertingkatkan kerana air adalah nadi kepada kehidupan dan kemakmuran ekonomi negara," kata Mohd Ezli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS