Persis sebuah drama yang ditayangkan menerusi televisyen, orang ramai yang berada di sekitar sebuah stesen minyak di pekan Pagoh dekat sini malam semalam, menyaksikan seorang lelaki mengejar seorang wanita yang meluru keluar dari sebuah kereta sebelum menikamnya.
Dalam kejadian pukul 11.40 malam itu lelaki berkenaan bertindak menikam perutnya sendiri selepas melihat wanita tersebut rebah dan berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Mohammed Nasir Ramli ketika memberitahu pemberita mengenai kejadian itu hari ini berkata, kedua-dua mereka adalah pasangan suami isteri yang dipercayai bertengkar di dalam kereta sebelum insiden tersebut berlaku.
Dipercayai lelaki warga Indonesia bertaraf penduduk tetap berusia 41 tahun itu berang apabila isterinya seorang rakyat tempatan meminta cerai, katanya.
Mohamed Nasir berkata siasatan awal juga mendapati lelaki yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Pagoh itu berada di bawah pengaruh alkohol.
Dalam insiden itu wanita berusia 37 tahun tersebut yang juga ibu kepada tiga anak berusia lima dan 18 tahun cedera di bahagian kanan dada, manakala suaminya parah dengan kesan tikaman di perut.
Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, kata beliau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kecederaan parah dengan senjata tajam.
- Bernama