Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sembilan telefon bimbit antara bukti kes Adun
Diterbitkan:  Feb 10, 2010 10:57 AM
Dikemaskini: 3:05 AM

Sembilan telefon bimbit adalah antara 20 barang bukti yang diterima Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu untuk perbicaraan kes menggugut tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

Selain itu empat komputer riba turut dijadikan bahan bukti dalam kes Datuk Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, 38, bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yang didakwa membuat ugutan jenayah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada tiga Adun Barisan Nasional Terengganu pada April tahun lalu.

Tertuduh turut didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan kepada tiga Adun itu iaitu Adun Paka Mohd Ariffin Abdullah, Adun Ajil Datuk Rosol Wahid dan Adun Permasuri Abdul Halim Jusoh dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Saksi pertama kes  Koperal Zulbahari Abdul Manan, 43, dari Cawangan Jenayah dan Stor Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu berkata 20 daripada 36 jenis barangan yang diambil daripada tertuduh telah dijadikan bahan bukti dalam kes ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz @ Juned berkata seramai 22 orang saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

    

Terdahulu, ketika pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim M.Bakri Abd Majid, Ahmad Ramzi meminta mahkamah supaya kesnya dibicarakan.

Pada pertuduhan pertama, Ahmad Ramzi didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya pada pukul 11.21 malam 13 April tahun lalu di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di Kuala Terengganu.

Untuk pertuduhan kedua, Ahmad Ramzi didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh, pada tarikh, tempat dan waktu sama, dan juga terhadap Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh sama.

Ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat iaitu pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Sabit kesalahan dalam pertuduhan ini, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Shahidani dibantu Nor Azimon Azumi dan Ooi Chooi Geok dan tertuduh diwakili peguam bela Datuk Hazman Ahmad, Rosli Abd Rahman dan Mohamed Noor Mahmud.

- Bernama   

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS