Tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor akan diambil semula jika pertubuhan itu gagal melunaskan tunggakan cukai RM5.7 juta.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang medianya berkata YBK perlu membuat permohonan semula kepada kerajaan negeri untuk membayar tunggakan cukai tanah di Serendah yang tidak pernah dijelaskan sejak 13 tahun lalu.
"Kita tidak rampas, kita ikut undang-undang. Anda ada proses, anda tidak boleh tidak ikut proses," katanya lagi, menjawab soalan wartawan.
Abdul Khalid juga berharap isu penolakan bayaran tunggakan cukai tanah YBK tidak dijadikan modal untuk menaikkan sentimen Melayu.
"Itu tak ada. Saya harap janganlah," katanya ketika ditanya sekiranya isu berkaitan pembinaan kampus universiti bagi bumiputera itu digunakan sesetengah pihak untuk menaikkan sentimen Melayu.
Ini memandangkan, Yayasan Melaka yang menawarkan untuk menjelaskan tunggakan cukai tanah YBK itu, memberi alasan untuk membangunkan satu kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sebidang tanah seluas 876 hektar tersebut.
Jelasnya, isu pembinaan kampus universiti berkenaan juga tidak berkaitan dengan tunggakan cukai tanah YBK.
"Tak ada kaitan, kita sangat berminat untuk bina kampus UiTM di Selangor.
"Tak bolehlah kerana Uitm kita tolak (bayaran tunggakan cukai oleh Yayasan Melaka), ini tiada kena mengena dengan UiTM," katanya lagi.
Tambahnya, situasi sekarang tidak berkaitan dengan pembinaan UiTM.
"Sekarang ini situasi tanah milik negeri selangor yang diberi kepada NGO, NGO itu tidak menjelaskan (cukai tanah)," jelasnya.
Ketika ditanya, beliau bagaimanapun enggan menjelaskan bidang kuasa YBK untuk membangunkan sesebuah universiti.
Tambahnya, salah satu pertimbangan yang dijalankan kerajaan negeri bagi menyelesaikan kemelut itu adalah dengan meletakkan wakil-wakil kerajaan negeri ke dalam YBK.
"Ini antara cadangan yang didicadang dan terima oleh YBK.
"Ada surat yang kata boleh (letakkan wakil kerajaan dalam YBK), tapi bila diminta nama itu menteri besar, ia tidak diterima," katanya lagi.