Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) menang lagi di tiga kampus utama dalam pilihan raya kampus universiti masing-masing semalam.

Dalam keputusan yang diumumkan lewat malam tadi, kumpulan tersebut menewaskan musuh tradisinya pro-Mahasiswa (pro-M) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Di UKM, pro-A memenangi 19 kerusi berbanding pro-M yang mendapat 15 kerusi. Bebas mendapat 1 kerusi. Universiti tersebut mempertandingkan 35 kerusi.

Di UTM, pro-A memenangi 28 kerusi manakala pro-M mendapat 18 kerusi. Bebas mendapat 5 kerusi. Keseluruhannya 51 kerusi dipertandingkan.

Sementara keputusan di USM pula, pro-A menang besar. Di kampus utamanya di Pulau Pinang, kumpulan tersebut menang bergaya dengan 31 kerusi.

Bebas berjaya mendapat 2 kerusi. Pro-M pula gagal mendapat sebarang kerusi.

Penguasaan berterusan pro-A

Keputusan kampus Kubang Kerian belum diperolehi setakat ini. Universiti berkenaan mempertandingkan 39 kerusi.

Keputusan terbaru tersebut melengkapkan penguasaan berterusan kumpulan pro-Aspirasi di kampus-kampus, melainkan di kubu kuat mereka di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Sebelum ini, pro-A turut menang tipis di Universiti Malaya (UM) apabila mendapat 21 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Pro-Mahasiswa tewas apabila mendapat 17 kerusi - kurang dua kerusi berbanding tahun lalu. Calon Bebas memperolehi 3 kerusi.

Tidak puas hati dengan keputusan tesebut, pro-M mengadakan demontrasi di universiti berkenaan malam tadi  sejurus selepas keputusan tersebut diumumkan.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula, pro-A memperolehi 37 kerusi berbanding pro-M  sebanyak 11 kerusi.

Pro-M hanya bertahan di UIA, UMT

Bagaimanapun kemenangan 7 daripada 11 calon kumpulan pro-M dibatalkan kerana didapati berkempen secara berkumpulan menggunakan laman sosial Facebook.

Selain di UIA, pro-M hanya menang di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Di pusat pengajian tersebut, pro-M menang 11 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Manakala pro-A hanya mendapat 1 kerusi sahaja.

Di UIA - satu-satunya kampus utama yang masih dikuasai pro-M - kumpulan itu mempertahankan kemenangan dengan memperolehi 15 daripada 29 kerusi yang dipertandingkan.

Manakala pro-Aspirasi, bebas dan calon antarabangsa, masing-masing mendapat 4 kerusi.

Baki dua lagi kerusi - masing-masing satu di Fakulti Perubatan dan kerusi Antarabangsa di Kuantan - kosong ekoran tiada calon yang bertanding di situ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS