Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasukan khas ditubuhkan untuk siasat kepala babi
Diterbitkan:  Jan 28, 2010 2:48 PM
Dikemaskini: 11:20 AM

Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian empat kepala babi hutan diletakkan di kawasan dua masjid di Petaling Jaya pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata pasukan khas itu telah dikerahkan mencari setiap maklumat bagi menyelesaikan kes berkenaan.

muhammad sabtu osman "Kes ini melibatkan keselamatan dan keamanan negara, dan perlu ditangani segera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kewangan Berhemat di Kuala Lumpur hari ini.

Muhammad Sabtu berkata siasatan dijalankan untuk mengesan saksi dan petunjuk kepada kes itu selain mencari motif perbuatan itu.

"Kalau sesiapa ada maklumat, tolong salurkan kepada kita," katanya.

Semalam dua bungkusan kepala babi hutan bersama satu baldi plastik berisi 30 keping wang RM1 diletakkan di pintu masuk belakang ke perkarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Haron manakala dua bungkus lagi serta baldi berisi jumlah wang yang sama dijumpai di hadapan pintu masuk ke perkarangan Masjid Al Imam Al Tirmizi, Taman Sri Sentosa.

   

NONE Pada ucapannya pada majlis itu pula, Muhammad Sabtu berkata penyelia kewangan di setiap balai dan ibu pejabat polis telah diarah untuk mengenal pasti pegawai-pegawai dan anggota di bawah selian masing-masing yang dibebani hutang.

"Langkah perlu diambil agar masalah hutang tidak mendatangkan kesan jangka panjang kepada mereka yang terlibat," katanya.

Muhammad Sabtu berkata pemantauan secara berterusan dan berkala juga hendaklah dibuat terhadap gaya hidup pegawai dan anggota supaya mereka yang terlibat dengan masalah ini hidup secara sederhana dan mengikut kemampuan.

- Bernama    

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS