Tujuh calon pro-mahasiswa di Universiti Putra Malaysia (UPM) dibatalkan kemenangan mereka dalam pilihan raya kampus itu Selasa lalu.
Pembatalan itu susulan mereka didakwa berkempen secara berkumpulan dan menggunakan Internet melalui laman sosial Facebook .
Semua mereka calon umum daripada 16 kerusi, mendapat surat memaklumkan pembatalan itu daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM pada 6.40 petang semalam.
Calon-calon yang mendapat undi terbanyak di kerusi-kerusi berkenaan akan menggantikan kekosongan tujuh kerusi berkenaan.
Menurutnya seorang jurucakapnya Ahmad Faris Rakbi, empat lagi calon kumpulan itu - semuanya peringkat fakulti - tidak menghadapi masalah serupa.
UPM mempunyai 48 kerusi yang dipertandingkan, termasuk 32 kerusi peringkat fakulti - dua daripadanya di kampus Bintulu, Sarawak.
Menurut Ahmad Faris, ketujuh-tujuh calon umum itu terdiri daripada dua pelajar fakulti sains iaitu Muhammad Hazim Md Noh dan Siti Hajar Zolqarnain.
Tiga mahasiswa fakulti pertanian iaitu Mohammad Rafi Abu Bakar, Mohd Hanif Md Radzi dan Azlinda Abdullah.
Sementara masing-masing seorang dari fakulti sains perubatan dan kesihatan, Amirul Rahman Mohd Khozam dan Nurul Hanisah M Yunus dari fakulti bahasa moden dan komunikasi.
Menurutnya calon-calon yang bertanding menerima surat daripada HEP, pada Ahad lalu - dua hari selepas penamaan calon - yang melarang mereka berkempen di laman sesawang termasuk rangkaian Facebook .
Calon dakwa pelajar lain yang mempromosikan mereka
Ekoran arahan tersebut, pihaknya telah memberi peringatan kepada pencadang, calon fakulti dan umum mereka agar patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh pentadbiran univerisiti, tambah Ahmad Faris.
"Pelajar lain yang mempromosikan kami di Facebook , bukan calon atau pencadang kami. (Jadi) kami mempertikaikan pembatalan kemenangan kami, sedangkan kami tak buat salah.
"Kami berkempen dengan mengeluarkan poster dengan dicop oleh jawatankuasa pilihan raya," katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Faris menyifatkan pembatalan kemenangan mereka adalah "satu pencabulan terhadap demokrasi " di kampus tersebut.
Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat UPM, Abdullah Arsyad berkata, sehingga jam 5 petang ini, kesemua pelajar terbabit gagal mengemukakan sebarang rayuan.
Sehubungan itu, tambahnya, jawatankuasa pemilihan kampus berkenaan akan bersidang malam ini bagi menentukan isu-isu berkaitan pembatalan kemenangan pelajar terbabit.
"Saya difahamkan keputusan akan diberitahu esok," kata Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini.