Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presidennya, R Sivarasa terpaksa meninggalkan mesyuarat biro politik parti itu, petang tadi kerana mempunyai janji temu dengan polis.
Mereka berkejar meninggalkan ibu pejabat PKR pada jam 3 petang dan terus menuju ke balai polis Tropicana yang terletak tidak jauh dari situ.
Ditemui oleh wartawan sebelum memasuki balai polis, Wan Azizah berkata: “Saya tidak tahu mengapa kami dipanggil tetapi akan berjumpa polis untuk mendapatkan penjelasan.”
“Menurut polis pihak pendakwaan mempunyai kes yang kukuh. Saya tidak faham mengapa mereka ingin menyiasat lebih lanjut,” katanya.
Menurut Wan Azizah, dia dan Sivarasa dimaklumkan dua hari lalu untuk berada di balai polis hari ini.
'Saksi alibi'
Sejam kemudian, kedua-dua mereka keluar dari balai polis dan memberitahu wartawan bahawa Wan Azizah telah diarahkan sebagai ‘saksi alibi’ dalam perbicaraan kes liwat suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan mereka dirakamkan oleh DSP Lily Chu.
“Ini tidak kena mengena dengan notis alibi yang difailkan oleh peguambela Anwar. Kami telah membekalkannya setahun yang lalu,” kata Sivarasa yang menemai Wan Azizah selaku peguamnya.
Ditanya wartawan samada kemungkinan kes berkenaan digugurkan, Sivarasa berkata: “Saya tidak berfikir sedemikian...kita mesti realistik.”
Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menunda perbicaraan berkenaan kepada 2 Feb.
[Baca berita lanjut]