Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Kulim-Bandar Baharu: 'Firaun' kecil cuba jatuhkan saya

Ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bersedia menerima sebarang kemungkinan dan "tidak akan berkompromi walau setitik" pun dalam isu penggunaan kalimah Allah.

"Apa pun, saya telah menegaskan bahawa dalam isu penyalahgunaan kalimah Allah ini saya tidak akan berkompromi walau setitik. Saya bersedia dengan sebarang kemungkinan," tulisnya.

Zulkifli mengulas kes laporan polisnya terhadap wakil rakyat PAS, Khalid Samad yang didakwanya berunsur hasutan serta menghina sultan, DUN Selangor dan umat Islam.

Tindakannya itu turut dipersoalkan oleh pemimpin kanan PKR,  termasuk ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkannya sebagai "melampau batas".

Susulan itu, nasib Zulkifli akan ditentukan dalam mesyuarat biro politik  PKR yang akan bersidang tengah hari.

Khalid minggu lalu dilaporkan berkata berkata, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 sudah ketinggalan zaman dan perlu dibuka kepada perbincangan semula.

Menulis dalam blognya pagi ini Zulkifli berkata, terdapat pihak yang sengaja mahu menjatuhkannya walaupun 'prosiding' bagi menentukan nasibnya masih belum bermula.

"Melihat kepada kenyataan akhbar yang riuh dibuat adalah jelas hukuman sudah pun dijatuhkan kepada saya walaupun belum lagi ada apa-apa prosiding dibuat terhadap saya.

"Kelihatan fir'aun-fir'aun kecil mula menyalak sana sini menuntut kepala saya dipancung!" katanya tanpa menyebut langsung nama pihak terbabit.

Mengulas mesyuarat biro politik tengah hari ini, Zulkifli berkata, beliau masih belum menerima notis untuk mengadap jawatankuasa disiplin atau mesyuarat biro politik parti itu.

Secara sinis beliau berkata, dosanya hanya kerana mempertahankan kalimah Allah "daripada disiat-siut dan dicemar oleh golongan yang terlalu mempertuhankan politik".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS