Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berkata permohonan maaf sahaja tidak mencukupi tetapi penulis blog yang didakwa menghina Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, harus tetap disiasat polis.
Timbalan ketuanya, Herman Samsudeen juga meminta penulis berkenaan - dikenali sebagai Aduka Taruna - turut disiasat Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim) ekoran beberapa tulisannya yang turut didakwa menghina ulama mazhab dan isteri Nabi Muhammad.
"DPPWP berpandangan bahawa tahap kebiadapan Aduka Taruna amat melampau dan beliau langsung tidak sensitif terhadap perasaan rakyat dan umat Islam.
"Keegoan beliau perlulah disiasat sebagai memperbetulkan fikrah yang kian tersesat," kata Herman yang juga setiausaha lajnah penerangan PAS.
Selepas kemangkatan Sultan Johor, Aduka Taruna didakwa menyiarkan artikel di blognya adukataruna.blogspot.com yang didakwa menghina Almarhum.
Tulisan tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai. Sekurang-kurangan 25 laporan polis dibuat terhadap penulis blog berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dilaporkan berkata, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat perkara itu dan seterusnya "mengheret penulis berkenaan ke mahkamah".
Dalam satu kenyataan hari ini, Herman berkata, pihaknya tidak menolak kebebasan bersuara, tetapi perlu ada ketegasan dalam menghadapi "perbuatan biadap" terhadap ulama, keluarga Nabi dan sultan.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya menolak penggunaan ISA terhadap penulis berkenaan kerana kes tersebut boleh "diselesaikan mengikut kaedah perundangan yang lebih baik".
Herman berkata, beberapa tulisan lain Aduka Taruna yang perlu disiasat, termasuk 'Wahabi Perlis', 'Sembang Mazhab' dan 'Muawiyah + Aisyah plak'.
Bercakap kepada Malaysiakini , Herman menafikan penulis blog yang banyak menyentuh soal pergolakan dalaman PAS itu sebagai anggota parti Islam itu.
Sebelum ini, Aduka Taruna terlibat mempromosikan kemeja-T 'PAS-Reform' - sebahagian bahan kempen untuk 'projek 'melanggar (kepimpinan presidennya) Abdul Hadi Awang' yang sering dikaitkan dengan usaha mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Umno.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim dilaporkan berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melakukan siasatan terhadap Aduka Taruna.
Katanya, beliau juga akan meminta peguam negara untuk membuat siasatan mengenainya selepas SKMM membuat siasatan awal.