Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim masih berlarutan dan hangat diperkatakan.

Sebahagian besar rakyat masih marah, kerajaan pula seolah-olah kehilangan arah serta prinsip dan pemimpin utama Umno ternyata bercelaru dan kelam-kabut.  

Kontroversi yang melanda negara itu tercetus akibat tindakan Kementerian Dalam Negeri yang  menghalang penggunaan kalimah Allah ke atas akhbar Herald , yang diterbitkan oleh gereja Katolik.  Dalam permit yang dikeluarkannya, KDN tidak membenarkan kalimah  Allah.

NONE Pihak Herald membawa perkara itu ke mahkamah dan berjaya membatalkan larangan berkenaan. Keputusan mahkamah menimbulkan rasa tidak puas hati dan marah di kalangan ramai Muslim.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa sikap dan pendirian sebahagian mereka  ikhlas, berhemah dan tulen.

Maslahnya, kemarahan dan kebimbangan orang ramai ini diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu, termasuk pemimpin-pemimpin utama Umno. Mereka melihat isu itu boleh diperalatkan untuk melemahkan Pakatan Rakyat dan peluang mereka meraih sokongan daripada orang Melayu.  

Pemimpin Umno juga merasakan bahawa pelbagai matlamat lain boleh dicapai jika isu Allah ini mereka kemudikan dengan bijak.

Seorang menteri kanan Umno sungguh-sungguh yakin isu itu boleh meretakkan jikalau tidak memecahkan hubungan antara PAS dengan DAP serta menamatkan sejarah  Pakatan Rakyat.  

Selain itu, pimpinan tertinggi Umno melihat dengan memperalatkan isu itu mereka boleh menggerakkan sokongan golongan Melyu/Islam dari semua peringkat.

Mereka tahu isu berkenaan dianggap dekat dengan hati orang Melayu/Islam dan berharap akan menenggelamkan isu-isu seperti korupsi, salahguna kuasa, kehilangan enjin jet dan pembunuhan Altantuya.

NONE Apabila Menteri Dalam Negeri membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah dan Perdana Menteri membenarkan demosnstrasi, isu itu menjadi lebih besar daripada yang sepatutnya.

Tindakan pelampau mula tidak terkawal

Masyarakat Islam semakin marah. Tindakan-tindakan pelampau tidak dapat dikawal lagi.  

Keputusan mahkamah hanya memberi kebenaran kepada Herald saja untuk menggunakan kalimah Allah. Malagnya ia dianggap boleh membuka jalan kepada seluruh masyarakat bukan Muslim – Kristian dan lain-lain – menggunakannya. Peluang untuk kumpulan pelampau  memperalatkan isu ini semakin meluas.

Sikap dan tindakan Menteri Dalam Negeri mengambil keputusan untuk merayu di mahkamah dan membenarkan tunjuk perasaan sebenarnya bertentangan dengan gazet kerajaan sendiri, iaitu P.U. (A) 62 bertarikh 16 Februari 2009.

Gazet itu menyatakan  (1) Percetakan, penerbitan, pengedaran dan pemilikan apa-apa dokumen dan penerbitan yang berhubungan dengan agama Kristian yang mengandungi perkataan “Allah”, “Kaabah”, “Baitullah” dan “solat” adalah dilarang melainkan jika di kulit muka depan ditulis perkataan “UNTUK AGAMA KRISTIAN”.

Pemimpin-pemimpin kerajaan bercakap tentang perlunya menghormati undang-undang. Kenapa mereka tidak menghormati gazet yang mereka sendiri keluarkan?

guan eng sue utusan 250209 from left rashidi salim,fadzil yahaya and yaacob omar Kenapa sebaliknya mereka perlu mengambil sikap dan tindakan yang dapat digunakan oleh segelintir extremis – termasuk dari Umno dan media perkauman sempit yang dikuasainya – untuk mengapi-apikan sentiment perkauman dan agama di kalangan rakyat?  

Sikap dan tindakan tidak bertanggungjawab menteri berkenaan  dan Perdana Menteri berjaya, buat sementara ini, menenggelamkan isu-isu yang menghantui mereka selama ini dan membantu mereka meraih sedikit sokongan dari masyarakat Islam. Namun mereka gagal melemahkan apatah lagi menghancurkan Pakatan Rakyat.

Pendirian PAS dan Keadilan

PAS telah mengambil pendirian berprinsip yang sama dengan Keadilan bahawa tidak ada larangan bagi golongan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Pada masa yang sama mereka mengingatkan supaya golongan Kristian tidak menyalahgunakan kebebasan itu untuk kepentingan peribadi. Datuk Seri Anwar Ibrahim, sewaktu menemui pemimpin-pemimpin gereja telah menegaskan lagi perkara berkenaan.

NONE Pendirian PAS dan Keadilan diterima baik oleh DAP serta golongan Kristian dan bukan Islam yang lain. Pakatan Rakyat pula tidak berpecah dan akhirnya hancur, seperti yang diharapkan oleh pemimpin Umno, bahkan terus kuat dan bertambah mantap.  

Perdirian berprinsip kedua-dua parti itu  berdasarkan beberapa faktor, antaranya: (i) Tiada hukum dalam Quran atau Hadis yang mengharamkan bukan Islam mengguna kalimah Allah, (ii) sejarah penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam ini sudah lama berlaku, termasuk dalam zaman Nabi Muhammad (SAW), dan (iii) kalimah ini luas digunakan oleh bukan Islam  di banyak kawasan termasuk di rantau ini, terutama di Sabah dan Sarawak, dengan tidak menimbulkan apa-apa masalah.

Mereka yang tidak bersetuju mengemukakan hujah bahawa sungguhpun ada ayat-ayat yang tidak menegah tetapi ada juga nas-nas Quran yang dapat ditafsirkan sebagai melarang bukan Muslim menggunakan kalimah Allah itu. Mereka berkata Quran hendaklah dilihat secara keseluruhan.  

Sejarah memang tidak dapat dinafikan. Akan tetapi mereka berpendapat bahawa walaupun kalimah itu digunakan oleh tempat-tempat lain, ia tidak sesuai diguna oleh masyarakat di sini.

Mereka berhujah rumpun Melayu mempunyai pandangan yang berbeza dan tersendiri disebabkan oleh faktor seperti bahasa dan budaya.

Apakah yang dimaksudkan dengan rumpun Melayu itu? Dari segi sosio-budaya, masyarakat Indonesia tergolong dalam rumpun Melayu. Begitu juga masyarakat tradisional di Sabah dan Sarawak.

NONE Kenapa di Sabah dan Sarawak, kerana pelbagai desakan, sekarang ini sudah diputuskan Kristian di sana boleh terus menggunakan kalimah Allah?  

Kenapa kebebasan itu kemudiannya diperluaskan lagi ke Wilayah Persekutuan dan Pulau Pulau Pinang? Alasan kerajaan, kononnya bukan Islam lebih ramai.

Mengapa dua peraturan dalam satu Malaysia? Bukankah ini pendirian politik yang sangat oportunis dan tidak berprinsip?  

Hujah Golongan Menentang

Ada beberapa hujah yang dikemukakan golongan yang menentang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim di negara ini.

Antaranya: (a) Allah mempunyai makna yang khusus bagi masyarakat  Melayu, (b) jika dibenarkan penggunaan kalimah ini dibimbangi lebih mudah orang Islam dapat dipengaruhi dan berubah ke agama Kristian, dan (c) ada anggapan bahawa wujud konspirasi atau sekurang-kurangnya strategi Kristian, khususnya Katolik, untuk menarik lebih ramai orang Melayu/Islam dengan memperalatkan kalimah Allah.

Hujah (a) dengan sendiri tidak bererti apa-apa apabila tiada keputusan yang sama bagi seluruh Malaysia. Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang diberi keistimewaan menggunakan kalimah Allah itu. Jadi tiada keseragaman atau sifat yang unik bagi seluruh Malaysia. Hujah ini menjadi lemah.

herald allah verdict protest masjid negara 080110 protesters 03 Mengenai hujah (b) pula, ini menunjukkan sesetengah seolah-olah orang Islam tidak yakin dengan  kekuatan iman sendiri. Memang benar ramai orang Islam yang tidak kuat iman dan tidak dalam pemahaman serta pengetahuan mereka tentang Islam.

Para ulama dan pemimpin NGO yang lantang mempertahankan penggunaan Allah untuk Islam saja tidak aktif melakukan dakwah dan tarbiah di kalangan masyarakat Islam untuk menanam iman dan mengukuhkan pengetahuan di kalangan ummah.

Mereka ini harus mempertingkatkan usaha dan jangan semata-mata menyalahkan pengembang agama lain yang lebih giat dan rajin. Jika mereka komited serta berusaha rajin, ada kemungkinan lebih ramai orang Kristian dan bukan Islam lain akhirnya memeluk agama Islam pula.  

Kita lihat di Sabah dan Sarawak, walaupun kalimah Allah sudah lama digunakan di gereja, namun boleh dikatakan hanya segelintir sangat kecil saja orang Islam yang berubah agama.

Salah satu sebabnya, walaupun kebanyakan orang Islam tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang Islam, namun iktikad yang mereka pegang secara tradisional tidak mudah diubah.

Mengapakah begitu takut? Bukankah orang Islam majoriti di negara ini dan kedudukan Islam dijamin oleh Perlembagaan?

ulu niah 5 iban longhouse sarawak 011007 welcomes Sebaliknya, dalam suasana kalimah Allah bebas dan luas digunakan, di Sabah dan Sarawak bilangan orang Kadazandusun dan Iban yang masuk Islam besar juga.

Ini dalam keadaan hampir tiada dakwah dan tarbiah yang dijalankan oleh badan-badan kerajaan atau bukan kerajaan. Fikirkanlah apa boleh berlaku jika ada rancangan dakwah dan tarbiah yang tersusun. 

Tentang hujah (c) pula, memanglah menjadi tujuan mana-mana agama untuk mengembangkan pengaruhnya. Tetapi kita harus ingat di negara seperti Indonesia, yang selalu disebut-sebut, agama Kristian berkembang bukan kerana penggunaan kalimah Allah yang tidak terbatas di sana.

Faktor paling penting ialah kerja-kerja kebajikan yang mereka lakukan dan kesediaan mubaligh mereka untuk hidup bersama-sama masyarakat tempatan, terutama yang di pinggiran atau pedalaman.

Tindakan Sepatutnya

Kenapa di negara ini tiada usaha yang serius untuk mengukuhkan iman dan meningkatkan pengetahuan agama di kalangan masyarakat Islam? Mengapakah lemah sekali usaha pendakwah Islam di kalangan Orang Asal, misalnya?

Apa sebab kerajaan tidak memberi bantuan lebih kepada pendidikan agama bahkan ada pula usaha hendak menutup sekolah agama?

multiple religious religion icons 181207 Mengapa kerajaan tidak memberi lebih bantuan, terutama dalam bentuk kewangan, kepada pendakwah yang hendak mengembangkan Islam?   

Sikap mereka yang benar-benar prihatin terhadap ketahanan dan perkembangan Islam bukanlah dengan menyalahkan golongan agama lain atau menyekat usaha-usaha mereka.

Mereka seharusnya berusaha dengan lebih gigih untuk berdakwah serta bertarbiah.  

Mereka juga perlu lebih giat menjalankan kerja-kerja kebajikan untuk rakyat. Mereka sepatutnya mendesak kerajaan supaya memberi bantuan serta peruntukan lebih besar kepada pendakwah-pendakwah dan juga kepada pusat-pusat pendidikan Islam di semua peringkat.

Umno yang mendakwa sebagai pejuang orang Melayu dan agama Islam jelas gagal melakukan semua ini.

Sebenarnya, walaupun sekiranya ada strategi dan agenda tertentu yang dirancangkan oleh pihak gereja atau kuil, misalnya, gerakan mereka pasti dibataskan oleh undang-undang.

Sebabnya, Perlembagaan Malaysia tidak membenarkan aktivis-aktivis dari agama lain selain Islam berdakwah di kalangan penganut agama Islam dan menukar kepercayaan mereka.  

Akhirnya, pihak gereja boleh melakukan sesuatu yang penting untuk mengendur bahkan menamatkan ketegangan kaum dan agama yang runcing ini. 

Alangkah baiknya jikalau pemimpin-pemimpin utamanya mengumumkan mereka tidak mempunyai sebarang niat atau strategi tersembunyi untuk menggunakan kalimah Allah bagi mengembangkan agama mereka.   


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS