Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dititahkan menghadap Sultan Selangor hari ini - empat hari selepas aduan polis dibuat terhadapnya yang mendakwa beliau tidak menghormati baginda berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Ketika dihubungi pagi ini, Khalid mengesah beliau akan menghadap baginda hari ini.

NONE Menurutnya, pertemuan itu dijangka selesai sebelum waktu solat Jumaat.

Ketika ditanya sebab beliau dititah mengadap, Khalid berkata, sebelum ini, beliau selaku ahli parlimen Shah Alam, telah memohon untuk menghadap bagi mendapatkan wawasan baginda mengenai pembangunan Shah Alam.

Katanya, beliau menghantar surat tersebut dua bulan lepas.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan isu penggunaan kalimah Allah turut dibangkit dalam pertemuan tersebut.

Semalam, Khalid menafikan beliau tidak menghormati baginda apabila mempertikaikan penglibatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam perhimpunan di Masjid Negeri baru-baru berhubung isu tersebut.

Aduan polis terhadap Khalid itu dibuat oleh 16 NGO Isnin lalu berhubung isu tersebut.

Sementara itu, Star online melaporkan Khalid dilihat masuk ke kawasan Istana Bukit Kayangan pada kira-kira jam 11.15 pagi.

Ketika keluar pada kira-kira 1 tengahari, Khalid memberitahu wartawan bahawa pertemuan hari ini sebahagian besarnya adalah mengenai pelan pembangunan Shah Alam.

Ditanya sama ada isu berkaitan penggunaan perkataan Allah turut dibangkitkan, Khalid berkata, Sultan telah memberi beberapa nasihat kepadanya.

"Semuanya saya dengar dengan baik," katanya.

Sementara itu, Khalid memberitahu Harakahdaily yang Sultan Selangor menitahkannya supaya mengusahakan suatu cadangan enakmen berkaitan masyarakat bukan Islam di negeri itu.

"Sekakat ini, bukan isu kalimah 'Allah', Sultan lebih bertitah (tentang) enakmen-enakmen berkaitan orang bukan Islam,"  lapor Harakahdaily yang memetik ahli parlimen Shah Alam itu.

Menurut Khalid yang juga ahli jawatankuasa lajnah politik PAS, baginda menitahkan PAS serta Pakatan Rakyat di Selangor supaya memanfaatkan prosedur undang-undang yang ada, sekiranya berhasrat membuat sebarang perubahan.

Katanya, kalau berasa apa-apa yang tidak sesuai dan memerlukan rombakan pada enakmen, maka ikut prosedur.

"Tuanku menitahkan kita untuk membuat proposal dan jelaskan mengapa perlu rombakan enakmen-enakmen (berkaitan masyarakat) bukan Islam," jelasnya.

Menurutnya, baginda tidak gembira dengan perubahan menggunakan pendekatan berceramah.

"Istana tidak suka (pendekatan) ceramah-ceramah ini (kerana) ia memanjangkan kekacauan berterusan," jelasnya.

Khalid berkata, bersedia memanjangkan hasrat baginda kepada para pemimpin PAS di peringkat negeri.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS