Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Cabang PKR Kuala S'gor tarik ribuan ahli baru'
Diterbitkan:  Jan 21, 2010 11:18 AM
Dikemaskini: 3:28 AM

Majlis pimpinan PKR Selangor akan menyiasat dakwaaan bahawa Cabang PKR Kuala Selangor yang diketua Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahm dibubarkan ekoran peletakan jawatan 13 ahli jawatankuasanya.

Sebaliknya, timbalan pengerusi PKR Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud berkata perkembangan di cabang tersebut mutakhir ini adalah sangat positif dengan penyertaan ribuan anggota baru berbanding dengan sebelum pilihan raya umum lalu.

“Namun, saya mengesyaki bahawa perkembangan ini adalah merupakan sebahagian daripada agenda terdesak pihak tertentu untuk menekan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas dakwaan timbalan ketua PKR cabang Kuala Selangor, Arshad Abu Bakar, bahawa cabang itu telah terbubar, ekoran tindakan 11 anggota jawatankuasanya yang dipilih serta ketua pemuda dan wanitanya, telah meletak jawatan.

Semalam, Abdul Khalid telah menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘sandiwara Umno’.

Mengulas lanjut, Syed Shahir berkata perlembagaan PKR jelas menyatakan bahawa pembubaran cabang hanya boleh dibuat menerusi mesyuarat agung khas cabang, selaras dengan fasal 25.8 perlembagaan parti.

“Jika sekiranya benar majoriti AJK Cabang meletak jawatan, ini bermakna mesyuarat agung khas cabang harus diadakan bagi melantik semula barisan AJK baru bersesuian dengan fasal 25.9 perlembagaan parti,” katanya.

Syed Shahir berkata hasil siasatan itu akan dimaklumkan kepada majlis pimpinan pusat agar tindakan yang bersesuaian dapat diambil, selaras dengan perlembagaan parti terhadap mana-mana anggota part yang bertindak di luar perlembagaan.

Semalam, Arshad dilaporkan mendakwa cabang itu telah terbubar, berasaskan tindakan 11 anggota jawatankuasanya yang dipilih serta ketua pemuda dan wanitanya telah meletak jawatan.

Arshad mendakwa,  hanya tinggal tiga pemimpinnya yang dipilih terdiri beliau sendiri, Khalid serta seorang AJK, Faridah Abdul Rahman.

Arshad mendakwa 11 AJK cabang serta Ketua Angkatan Muda, Nazarudin Darmawan, dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman, meletak jawatan antara November tahun lalu dan 18 Jan tahun ini.

Katanya mereka yang meletak jawatan itu bagaimanapun masih kekal sebagai anggota PKR tetapi mereka telah hilang kepercayaan terhadap Khalid untuk menerajui cabang Kuala Selangor.

Mereka mendakwa Khalid telah meletakkan PKR Kuala Selangor dalam keadaan 'penuh kecelaruan' tanpa asas tadbir urus yang kukuh.

Khalid juga dituduh tidak mengambil inisiatif memperkukuhkan parti meskipun ada ahli bukan Melayu di Ijok dan Batang Berjuntai telah keluar parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS