Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Bukan buaya, haiwan gigit pengunjung PD
Diterbitkan:  Jan 18, 2010 5:23 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Luka di kaki seorang pengunjung ke pantai Port Dickson yang heboh dilaporkan di akhbar dan internet kebelakangan ini bukan akibat serangan buaya atau ikan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang menerima laporan dari pakar-pakar perubatan menyatakan, kesan luka tersebut mungkin disebabkan oleh punca lain tetapi bukan dari haiwan ganas.

"Ini bukan saya kata tapi menurut pakar yang meneliti kes itu, kita tidak pasti apa yang menyebabkan luka itu tapi macam-macam kemungkinan, mungkin terumbu karang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Seremban hari ini.

Katanya, belum pernah berlaku dalam sejarah Port Dickson, pengunjung diserang oleh binatang liar seperti buaya atau ikan yu.

Beliau berharap orang ramai bertenang dan tidak membuat pelbagai andaian berdasarkan spekulasi.  

Beliau berkata, pada umumnya, Port Dickson merupakan pantai peranginan yang selamat dikunjungi.

"Kita ada membuat pemantauan, di pantai-pantai awam kita ada menara kawalan, kita dibantu oleh St John Ambulance, Jabatan Pertahanan Awam dan RELA," katanya.

Sama ada duduk di hotel atau mahu berkhemah di tepi pantai, orang ramai dan pelancong tidak perlu risau dengan keselamatan mereka, katanya.

Beliau mengulas laporan mengenai seorang lelaki yang mendakwa dirinya diserang dan kakinya digigit hingga parah oleh seekor binatang dipercayai buaya.

Lelaki itu, dipercayai seorang posmen, mendakwa waktu diserang, melihat lembaga seperti buaya dengan bentuk badannya yang leper, keras dan kehitaman dalam air di pantai berkenaan.  

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS