Kerajaan Selangor tidak boleh mencampuri urusan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kerana ia bukan di bawah kerajaan negeri itu, tetapi didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), kata bekas menteri besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.
"Di bawah pentadbiran saya dahulu, saya bekerjasama dengan YBK. Ia didaftar dengan ROS dan aktivitinya dikawal oleh lembaga pemegang amanahnya," kata beliau ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Dr Mohd Khir menegaskan demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri Selangor yang mahukan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim memegang jawatan pengerusi YBK.
Selain itu, dilaporkan, kerajaan negeri juga mahu tiga orang lantikan mereka memegang jawatan ahli pemegang amanah YBK.
Bagaimanapun, pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom dilaporkan berkata, ia bermakna kerajaan Selangor mahukan jawatan empat daripada enam ahli pemegang amanah yayasan tersebut.
Bagaimanapun, Zainal Abidin dilaporkan berkata YBK tidak akan tunduk kepada ugutan kerajaan negeri itu yang ingin menyekat segala kegiatannya jika tidak mematuhi syarat tersebut.
Dr Mohd Khir yang juga ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya mengugut YBK.
"Menggunakan kuasa untuk mengugut, memberi imej yang tidak baik (kepada kerajaan negeri). Kita tidak bersetuju dan sepatutnya (kerajaan negeri) bekerjasama dengan mereka.
"Meletakkan kata dua (kepada YBK) adalah satu tindakan yang tidak betul," katanya lagi.
Sepatutnya, kata Dr Mohd Khir, kerajaan negeri membantu pelaksaaan program-program YBK dan bukannya mengugut yayasan tersebut.
Beliau sebaliknya mendakwa, hasrat kerajaan neger itu untuk campur tangan dalam perjalanan YBK, dilihat sebagai satu usaha untuk "mengambil kesempatan" untuk kepentingan politik mereka.
YBK ditubuhkan oleh bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika negeri itu diperintah oleh BN.
Pada 11 Januari lalu, sebuah NGO - Bersih Bangun Selagor (BEBAS) - telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Khalid berhubung projek kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pengerusi BEBAS, Mohd Abdul Raof Mokhtar dilaporkan berkata, kerajaan Selangor telah mengarahkan YBK melantik Khalid sebagbai pengerusinya, kerana jika tidak, pembinaan kampus itu di sekeping tanah milik yayasan itu akan dihentikan.
Mohd Abdul Raof dilaporkan mendakwa ianya mengandungi unsur ugutan terhadap YBK dan meminta SPRM menyiasatnya.
YBK yang ditubuhkan 20 tahun lalu, bercadang membangunkan kawasan seluas 190 hektar untuk pembinaan kampus UiTM di Serendah, Rawang. Tanah tersebut adalah milik YBK yang dianugerahkan kerajaan negeri terdahulu sekitar tahun 1995.