Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 3.34pm Exco kanan kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa menyokong saranan supaya kebocoran maklumat mesyuarat exco negeri, berhubung pembelian tingkat bawah Bazar Tok Guru disiasat bagi mengelakkan ada mana-mana pihak "menjadi mangsa permainan".

Dan beliau menyarankan supaya Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat memulakan siasatan dengan memanggil anggota exco terlebih dahulu.

Ini ekoran maklumat tersebut didedahkan oleh penulis blog Kickdefella Syed Azidi Syed Abdul Aziz, yang diketahui umum pernah rapat dengan Husam.

Syed Azidi dilapor mendakwa, projek tersebut, yang merupakan usahasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan syarikat Sensatimur Sdn Bhd, dikatakan rugi kira-kira RM50 juta.

Dan kelmarin, exco kerajaan tempatan Datuk Takiyuddin Hassan meminta Nik Aziz menyiasat kebocoran maklumat itu, kerana keputusan mesyuarat exco tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Mengulas mengenainya, Husam berkata, siasatan tersebut dapat mengelak sebarang sangkaan atau perbuatan menuding jari, berhubung perkara itu.

"Jika 'kebocoran' ini perlu disiasat, saya sangat menyokong," tulis Husam dalam blognya Cetusan Hati kelmarin.

"Jalan yang paling mudah, rasa saya, ialah Tok Guru (Nik Aziz) memanggil majlis dan dengan menggunakan apa-apa kaedah yang diajar oleh Islam, mencari orangnya.

"Ia boleh bermula dengan ahli exco sendiri supaya ia (tuduh-menuduh) tidak berpanjangan dan berterusan dalam prasangka (sesama sendiri)," tulisnya lagi.

Menceritakan latar belakang pembinaan bazar berkenaan, Husam berkata, PMBK dan Sensatimur menandatangani perjanjian bagi membina sebuah kompleks perniagaan tiga tingkat untuk menempatkan peniaga daripada Arked Uda dan Bazar MPKB.

Menurut perjanjian tersebut, tambahnya, tingkat satu dan dua yang dianggarkan bernilai RM40 juta diserahkan kepada PMBK. Sensatimur pula diberikan tanah seluas 6 ekar beserta tingkat bawah Bazar tersebut yang bernilai RM23 juta.

Menurut pendedahan Syed Azidi bulan lalu, menjelang pilihan raya umum Mac 2008, menteri besar telah bersetuju memberikan ruang perniagaan kepada peniaga di tingkat bawah bazar.

Perjanjian asal tidak menyatakan Sensatimur akan memiliki premis tingkat bawah tersebut, tulisnya.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz dilaporkan mengesahkan kerajaan negeri terpaksa membeli Bazar Tok Guru bernilai RM23 juta - yang sedang dibina - daripada Sensatimur disebabkan oleh masalah teknikal, demi menjaga kepentingan peniaga.

Husam di blognya itu turut membayangkan maklumat yang didedahkan Syed Azidi bukanlah rahsia kerana perbincangan projek tersebut melibatkan banyak pihak.

"Pertama, ia dibincang oleh jawatankuasa (yang dibentuk kerajaan negeri). Jawatankuasa ini ada ahlinya. Pemaju juga mungkin dijemput untuk berbincang dan persetujuan mereka tentulah perlu.

"(Oleh) kerana itu, mereka mungkin orang paling awal tahu tentang maklumat ini. Wakil PMBK juga mungkin hadir dan wakil ini mungkin pula perlu berbincang dengan rakan sejawatan mereka di PMBK," tulisnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Azidi dilihat mempertahankan Husam kerana menurutnya, beliau "akrab dengan hampir semua barisan exco kerajaan negeri."

"Oleh yang demikian, hampir semua mereka boleh dituduh sebagai suspek yang membocorkan rahsia kerajaan negeri kepada saya, termasuklah YB Datuk Takiyuddin sendiri.

"Yang jelas, bukan YB Datuk Husam yang memberi maklumat itu kepada saya," tulisnya semalam, dipercayai untuk mempertahankan mantan naib presiden PAS itu.

Syed Azidi juga mempersoalkan sama ada kenyataan Takiyuddin mewakili pendirian PAS, sedangkan parti itu "sudah lama menentang penggunaan OSA".

ADS