Pemuda Umno Kelantan hari ini menyokong tindakan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat mengiystiharkan ketaatannya kepada Pemangku Raja yang dilaporkan sedang berkrisis dengan kekandanya.
Anuar Safian berkata, oleh kerana perkara tersebut "tidak langsung berkaitan dengan fahaman politik", pergerakannya tiada masalah menyokong tindakan Nik Aziz, yang juga mursyidul am PAS.
"Ini tidak langsung berkaitan dengan politik. Kalau tanya (pengerusi Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed) Tok Pa sekalipun, saya yakin beliau akan sependapat dengan saya," katanya kepada Malaysiakini .
Beliau diminta mengulas peringatan Nik Aziz supaya rakyat negeri itu mematuhi dan mentaati titah Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco tengah hari tadi, Nik Aziz dilaporkan berkata, kerajaan negeri yakin Tengku Muhammad Faris telah bertindak sehabis baik untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya.
Nik Aziz juga berkata, kerajaan negeri juga yakin Pemangku Raja telah bertindak dengan sehabis baik baginda untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya.
Ketika dihubungi, Anuar berkata beliau "tidak dapat memahami" isu yang dilaporkan berhubung perbezaan antara kenyataan Nik Aziz dan Tengku Muhammad Fakhry berkaitan rawatan sultan.
Pergolakan dalam istana itu, antaranya antara Pemangku Raja dengan kekandanya, disifatkan Anuar sebagai “hal dalaman semata-mata dan tidak dapat dikatakan sebagai perebutan kuasa”.
Sementara itu, Bernama hari ini melaporkan, kerajaan negeri kini merancang mempercepatkan proses membawa pulang baginda bagi mendapatkan rawatan susulan di hospital di negara ini dari Singapura.
Nik Aziz berkata, cadangan itu diambil susulan reaksi rakyat negeri ini yang dilihat semakin kurang bertanya dan menyebut mengenai sultan berbanding sebelumnya.
"Saya perasan dah lama rakyat tidak tanya apa-apa pasal Sultan. Saya berasa sangsi lama sangat sultan tidak ada, saya bimbang Sultan terlupa dari ingatan rakyat.
"Kerajaan sedang rancang sebaik-baiknya untuk bawa balik Sultan ke dalam negara," beliau dipetik berkata.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan membawa pulang sultan ke dalam negara itu bergantung kepada laporan daripada panel kesihatan yang telah dilantik.