Cadangan pemberian subsidi petrol berdasarkan kapasiti enjin dan jenis kenderaan belum dimuktamadkan kerana kerajaan masih meneliti mekanisme pelaksanaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan perlu melihat perkara itu dalam semua aspek bagi memastikan tidak ada pihak yang teraniaya.
"Daripada segi perincian kita akan umumkan kemudian kerana sekarang sistem tersebut masih dalam proses pengemaskinian, jadi soal siapa yang dapat, bagaimana pengiraan, akan diumumkan kemudian," katanya kepada pemberita selepas taklimat bersama Pemuda, Wanita dan Puteri Umno berhubung pemberian subsidi gula di Kuala Lumpur semalam.
Ismail diminta mengulas mengenai kenyataan beliau pada Khamis lepas yang antara lain menyebut kerajaan akan memperkenalkan mekanisme baru subsidi petrol bagi memastikan hanya warganegara yang layak sahaja menikmatinya.
Laporan itu menyebut pelaksanaan akan ditentukan berdasarkan kapasiti enjin kenderaan mereka, dengan tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah yang lazimnya menggunakan enjin berkapasiti kecil.
Kerajaan dijangka mengumumkan mekanisme baru itu pada 1 Mei serentak dengan pemansuhan pemberian subsidi petrol kepada warga asing.
Mengulas mengenai harga gula, Ismail menegaskan kajian kerajaan menunjukkan kenaikan 20 sen itu tidak membebankan pengguna secara am, kerana penggunaan isi rumah adalah sekitar satu hingga dua kilogram sahaja sebulan.
Ini bermakna kenaikan tanggungan setiap orang hanya sekitar 50 sen sahaja, katanya.
"Kalau melihatnya secara positif, yang gula itu membahayakan kesihatan.
"Saya rasa orang menerima apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk kebaikan mereka dan sekiranya pembangkang menganggap itu (kenaikan) sebagai hadiah tahun baru, anggaplah kita memberi hadiah untuk kesihatan,"katanya.
- Bernama