Wanita pertama yang dilantik menganggotai jemaah menteri Malaysia, Tun Dr Fatimah Hashim, 85, meninggal dunia di rumahnya pada 11.35 malam tadi kerana sakit tua.
Allahyarhamah Fatimah, yang meninggalkan enam orang anak, dikebumikan selepas solat Zuhur bersebelahan pusara suaminya, Tan Sri Abdul Kadir Yusoffiaitu bekas Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang dan Pembangunan Negara yang meninggal dunia pada April 1992.
Allahyarham dilahirkan di Kampung Parit Kurma, Muar, Johor pada 25 Disember 1924 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Perempuan Mersing, Johor sebelum memulakan kerjaya sebagai guru.
Fatimah dilantik sebagai Menteri Kebajikan pada 20 Mei 1969 hingga 1 Mac 973. Allahyarhamah menceburi arena politik pada 1947 dan memegang jawatan Ketua ergerakan Kaum Ibu Umno, yang kini dikenali sebagai Pergerakan Wanita Umno, pada 11 Sept 1956 hingga Jun 1972.
Allahyarhamah juga pernah menyandang jawatan naib presiden Umno sebanyak iga penggal mulai 1963 hingga 1967.
Pada 19 Ogos tahun lepas, Allahyarham dipilih sebagai seorang daripada empat rakyat Malaysia yang terkemuka dan cemerlang untuk menerima Anugerah Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Komuniti.
Sebelum itu, jenazah Allahyarhamah disembahyangkan di Masjid Negara dengan diimamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.
Seramai lebih 200 sanak saudara dan kenalan hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan dan beberapa menteri kabinet yang lain.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Fatimah sebagai seorang tokoh pejuang yang banyak berjasa kepada negara, kerajaan dan Umno.
Katanya, sebagai seorang menteri yang menganggotai Kabinet awal negara selepas kemerdekaan, Allahyarhamah telah memberi sumbangan amat besar nilainya kepada kerajaan dan negara.
Katanya Fatimah adalah seorang tokoh wanita unggul yang meletakkan asas dalam perjuangan wanita pada peringkat awal kemerdekaan negara ini.
"Oleh itu saya menganggap Allahyarhamah sebagai seorang tokoh pejuang, tokoh wanita dan tokoh dalam kerajaan yang begitu besar jasanya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri istiadat pengebumian Allahyarham hari ini.
- Bernama