Imam Besar Masjid Negara menitiskan air mata dan tersedu-sedan ketika membacakan doa di akhir khutbah Jumaat hari ini yang menyentuh isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.
Berbeza dengan solat Jumaat sebelum ini, suara Tan Sri Ismail Muhammad kedengaran sebak dan terputus-putus dari mimbar masjid, di penghubung bacaan doa tersebut.
Ismail membacakan khutbah yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjudul 'Akidah benteng kekuatan ummah'.
Khutbah tersebut, antara lain, menegaskan bahawa lafaz Allah khusus bagi umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama lain, seperti yang telah diputuskan dalam muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2008 .
Khutbah tersebut menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia mengelak daripada menimbulkan isu-isu sensitif kerana "penggunaan lafaz Allah telah beratus-ratus tahun digunakan oleh masyarakat Islam di negara ini".
Selepas tamat solat Jumaat pada kira-kira jam 2.00 petang, beratus orang menyertai demonstrasi bagi membantah penggunaan perkataan Allah dalam mingguan Katholik, Herald.
Perhimpunan itu anjuran dua pertubuhan Melayu - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) - turut disertai Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris).
Sejak sebelum solat lagi, beberapa sepanduk anti-penggunaan nama Allah di kalangan bukan Islam, digantung di anjung masjid negara, antaranya berbunyi Bersatu pertahankan maruah! Bersatu untuk Islam!; Jangan cabar kemakmuran dan perhubungan kaum sedia ada; Hak, maruah, martabat bangsa Melayu dan agama Islam akan kami pertahankan
Dua sukarelawan PPIM juga menyediakan meja bagi mengutip tandatangan jemaah membantah perkara itu.
Memulakan perhimpunan itu sejurus selepas solat Jumaat, Ketua Wira PERKASA Selangor, Arman Azha Abu Hanifah membacakan 'Deklarasi Masjid Negara' menuntut:
Penganut Katholik menggunakan perkataan tuhan bagi menggantikan kalimah Allah dalam penerbitannya.
Perkara berkaitan Islam mesti dibawa ke Mahkamah Syariah, bukan mahkamah sivil.
Majlis Raja-raja Melayu perlu memainkan peranan lebih proaktif untuk mempertahankan agama dan umat Islam
Bacaan deklarasi itu disambut teriakan takbir bertalu-talu daripada mereka yang menyertai perhimpunan tersebut. Pada masa yang sama satu bendera merah bertulis 'Melayu' dalam warna hitam, dikibarkan bersama bendera berjalur tiga - merah, kuning dan hijau - mewakili Pekida.
Poster Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria turut dijulang. Dalam masa yang sama, sebuah helikopter polis kelihatan berlegar-legar memantau perhimpunan tersebut dari udara.
Bercakap kepada pemberi selepas perhimpunan tersebut tamat pada jam 2.20 petang, Arman berkata, petisyen bantahan yang ditandatangani jemaah hari ini akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas kebakaran gereja di tengah-tengah ketegangan isu tersebut, Arman berkata, pihaknya menyelar tindakan tersebut dan meminta semua pihak bertolak ansur "kerana Islam menyeru kepada keamanan".