Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kami guna 'Allah' ratusan tahun, kenapa halang?'

NONE Penggunaan nama Allah dalam menterjemahkan Bible (bahasa Inggeris) ke Alkitab (bahasa Melayu) dibuat oleh mereka yang datang menyebarkan Injil di Borneo beratus-ratus tahun dahulu. Orang-orang ini datang dari Australia dan Britain.

Saya sendiri tidak tahu mengapa mereka memilih nama Allah sebagai terjemahan God dalam Alkitab. Kemungkinan mereka merujuk Alkitab edisi bahasa Arab dan memutuskan untuk menggunakan nama yang sama seperti yang digunakan oleh orang Kristian Arab.

Lagi pun orang Kristian Arab muncul lebih awal daripada orang muslim Arab. Katakan, mereka menggunakan nama lain pada masa mula-mula Alkitab diterbitkan dalam bahasa Melayu, kami orang Kristian dari suku-suku minoriti di Sarawak akan terima sahaja.

Saya pasti pada masa itu, ketika Sarawak belum bergabung dengan Malaya, tiada masalah menggunakan nama Allah sebab tiada halangan dan larangan daripada sesiapa.

Sekarang sudah sekian lama kami menggunakan nama Allah dalam semua ibadah, doa, nyanyian, serta penulisan dan penerbitan. Amalan ini terbawa-bawa sehingga terbentuknya Malaysia.

Kalaulah orang Sarawak yang berkepercayaan Kristian tahu bahawa mereka akan dihalang menggunakan nama Allah setelah bergabung dengan Malaya, saya fikir, belum tentu terbentuk sebuah negara Malaysia.

Dalam hujah peguam yang mewakili Herald di mahkamah, mereka menunjukkan bukti bahawa sudah ada bahan terbitan Kristian dalam bahasa Melayu sejak lebih kurang 400 tahun yang lampau. Maka dakwaan orang muslim Malaysia bahawa orang Kristian di Malaysia baru sahaja hendak menggunakan nama Allah adalah tidak berasas.

Nama Allah sudah lama kami gunakan. Kenapa sekarang, orang muslim Malaysia hendak menghalang kami daripada menggunakan nama Allah yang sudah sekian lama kami guna pakai, malah sebelum terbentuknya Malaysia lagi?

Suku-suku peribumi di Sarawak tidak fasih berbahasa Inggeris. Oleh sebab itu mereka tidak mampu memiliki Alkitab dalam bahasa Inggeris yang dipanggil Bible. Namun mereka boleh memahami bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

Pada masa sama, agak sukar untuk terjemahkan Bible ke bahasa ibunda suku masing-masing kerana kekurangan pakar bahasa di kalangan mereka.

Maka, untuk memudahkan orang Kristian daripada suku-suku peribumi ini dapat memperdalamkan pengetahuan mereka dalam kepercayaan Kristian, mereka perlu memiliki satu Bible yang diterjemahkan dalam bahasa yang mereka fahami, iaitu bahasa Melayu loghat Indonesia.

Pada masa itu, orang Melayu di Malaya belum dikenali sangat oleh suku-suku peribumi Sarawak ini, begitu juga bahasa mereka. Maka, mereka mendapat terjemahan Bible dalam bahasa Indonesia yang dipanggil Alkitab Suci.

Kandungan Bible yang merujuk kepada Lord God juga diterjemah sebagai Tuhan Allah tanpa ada sebarang masalah. Ia diterima dengan aman dan sukacita. Saya yakin Alkitab pada masa itu dicetak di Indonesia, dan orang muslin di Indonesia tidak pernah dikelirukan iman mereka sampai sekarang.

Pada tahun 16 Sept 1963 maka terbentuklah Malaysia. Sarawak bergabung dengan Malaya membentuk Malaysia.

Sarawak, bersama-sama rakyatnya seperti kami, membawa masuk kepercayaan Kristian kami ke dalam kelompok rakyat Malaysia. Kami tidak pernah diarahkan supaya berhenti guna nama Allah selepas bergabung dengan Malaysia.

Kami pun tidak terfikir bahawa suatu hari nanti orang muslim Malaysia akan melarang kami menggunakan nama Allah kerana kami sedia maklum bahasa perkataan Allah adalah dipetik dari bahasa Arab, bukan bahasa Melayu.

Sehinggalah sekarang, baru kami tersentak dan terkejut. Kami dilarang menggunakan nama Allah dalam Alkitab, dalam semua penulisan dan penerbitan Kristian.

Sudah sekian lama kami sudah panggil Dia yang kami sembah sebagai Tuhan Allah, dan sekarang ia dilarang pula. Saya kasihan memikirkan tentang nenek, datuk dan ibu bapa kami di kampung yang tidak tahu-menahu bahawa mereka dilarang menyebut nama Tuhan Allah.

Bagaimana kami cucu-cuc dan anak-anak mereka hendak menerangkan kepada mereka mengenai larangan ini? Mereka sudah tentu akan menjawab, "sudah sekian lama kita menyebut nama Tuhan Allah, kenapa sekarang tidak boleh?"

Saya yakin, walau dilarang sekalipun, mereka akan tetap menyebut nama Tuhan Allah sampai bila-bila sebab perkataan itu adalah nama yang mereka sebut sejak turun-temurun.

Generasi terkini, yang fasih berbahasa Inggeris, tidak mempunyai masalah kerana mereka mampu mengerti Alkitab dalam bahasa Inggeris iaitu Bible dan boleh menghadiri kebaktian atau semua aktiviti ibadah, doa, nyanyian dalam bahasa Inggeris di mana-mana tanpa perlu menyebut Allah, melainkan Lord God.

Tetapi orang yang tidak fasih berbahasa Inggeris terpaksa menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Pada masa dulu, setelah mengikuti sekolah di bawah kerajaan Malaysia, semakin ramai anak-anak generasi masa itu fasih berbahasa Melayu.

Apabila bahasa Malaysia menjadi semakin digunakan berbanding bahasa Indonesia, maka wujud satu generasi yang kurang memahami bahasa Indonesia tetapi lebih memahami bahasa Malaysia.

Maka, diusahakan satu terjemahan Alkitab dalam bahasa Malaysia yang masih mengekalkan nama Allah. Salah satu Alkitab terjemahan bahasa Malaysia ada pada simpanan saya dan itulah Alkitab yang sentiasa saya gunakan.

Di kampung sendiri mungkin boleh menggunakan bahasa ibunda sendiri, tetapi nama Tuhan Allah tetap digunakan. Sebab dalam bahasa ibunda, tiada perkataan lain yang sesuai untuk menggantikan nama Allah. Lagipun kami sudah sebati dengan nama ini kerana sudah dipakai sejak turun-temurun.

Mungkin ada suku-suku yang telah memilih nama khas dalam bahasa mereka untuk tujuan terjemahan dalam bahasa masing-masing, tapi dalam bahasa suku saya, belum ada.

Jadi dalam kes suku saya, masih kena menggunakan nama Tuhan Allah, lagi pun suku saya kekurangan perkataan. Banyak perkataan yang dipinjam daripada suku atau bangsa lain. Berbeza di bandar, anggota sesebuah gereja itu terdiri daripada pelbagai suku bangsa.

 

Ada gereja yang mengadakan dua sesi kebaktian pada hari Ahad, satu sesi untuk penutur bahasa Inggeris, satu sesi untuk mereka berbahasa Malaysia. Ada juga yang mengadakan sesi untuk bahasa Cina dan Tamil, bergantung kepada keperluan bahasa dalam gereja itu.

Di bandar, saya menghadiri sesi berbahasa Melayu sebab saya kurang fasih berbahasa Inggeris. Dalam gereja terdapat pelbagai suku bangsa, maka kena menggunakan bahasa Melayu yang mudah difahami semua orang. Jadi, cuba fikirkan?

Sampai hatikah orang muslim Malaysia memaksa orang-orang seperti saya daripada suku-suku minoriti yang lemah ini berhenti memanggil Tuhan mereka dengan nama Tuhan Allah? Jangan lupa bahawa kami sudah lama, malah sebelum terbentuknya Malaysia, telah memanggil Tuhan yang kami sembah dengan nama Tuhan Allah.

Andai kata kami semua fasih berbahasa Inggeris, saya yakin Bible tidak akan diterjemah ke bahasa Indonesia atau bahasa Melayu.

Andai kata pada masa dulu orang yang mula-mula menterjemahkan Bible kepada bahasa Indonesia atau bahasa Malaysia memilih nama lain untuk terjemahkan God, dan bukan Allah, kami tidak kisah asalkan nama itu merujuk kepada Tuhan yang menciptakan alam semesta, bumi serta segala isinya, manusia iaitu Adam dan Hawa.

Asalkan nama itu merujuk kepada Tuhan yang disembah oleh Nabi Abaraham, Isak dan Yakub, Tuhan yang disembah oleh Nabi Noh, Tuhan yang disembah oleh Nabi Musa yang membawa orang Israel keluar dari tanah Mesir, Nabi Harun, Tuhan yang disembah oleh Maria (bukan Nabi) yang melahirkan Yesus (Nabi Isa) secara luar biasa tanpa persetubuhan.

Bagi kami, nama itu tidak penting, yang penting kami menyembah Tuhan yang sama seperti yang disembah oleh Nabi-nabi yang tersebut tadi.

Namun begitu, nama Allah sudah turun-temurun kami guna pakai untuk berseru kepada Tuhan yang disembah Nabi Abraham dan Nabi-Nabi lain. Sudah sebati di hati kami.

Kami boleh saja tukar nama itu bila-bila masa. Tetapi, sudah sekian lama kami memanggil nama Allah, malah sebelum Sarawak bergabung dengan Malaya.

Bukankah pelik bagi seseorang kalau dipaksa menukar nama yang selalu disebutnya untuk berseru kepada Tuhannya kepada nama lain?

Begitulah sedikit komen dari saya. Saya tidak berniat hendak berdebat atau menyinggung perasaan atau memperlekehkan mana-mana pihak.

Siong T, seorang profesional dalam lingkungan 30-an, penganut Kristian daripada suku minoriti Kenyah Badeng di Sarawak. Artikel ini disiarkan di sini, dengan suntingan, bagi menggalakkan dialog berhubung polemik isu 'Allah'.

Ulasan-ulasan lain seperti berikut:

Isu 'Allah' berkaitan fahaman pluralisme agama (8 Jan)

Allah inti akidah, kenapa Katholik mahu gugat? (7 Jan)

Kenapa 'Allah' popular kepada penganut Kristian (6 Jan)

Lebih sensitif daripada isu kartun Nabi (6 Jan)

Rancangan jahat tangguk di air keruh (6 Jan)

ADS