Para penyokong Pakatan Rakyat yang ingin menyertai demonstrasi membantah penggunaan nama Allah pada penerbitan Kristian tidak dilarang berbuat demikian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas perhimpunan besar-besaran esok anjuran banyak NGO Melayu dan Islam, ketua pembangkang bagaimanapun berkata beliau tidak menggalakkan mereka menyertai demonstrasi raksasa esok yang dijangka diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara.
"Saya memang tidak menggalakkan mereka (berdemo) kerana pada pandangan saya anda mesti berbincang tentang perkara ini kerana ia isu yang sangat serius dan jadi pertikaian antara orang Islam dan Kristian," katanya.
Demonstrasi berkenaan dianjurkan bagi membantah keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) antara NGO yang mengesahkan untuk berhimpun tengah hari esok.
Anwar dalam pada itu turut mempertikaikan sikap "pilih kasih" kerajaan yang tidak mengambil tindakan terhadap perhimpunan membantah keputusan mahkamah tersebut.
"Perhimpunan aman harus dibenarkan di negara kita. Sama ada kita setuju atau tidak (dengan sesuatu isu), itu soal kedua," katanya .
Beliau turut menyifatkan tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein membenarkan perhimpunan itu sebagai "pendirian hipokrit".
"Di satu segi, (Hishammuddin) tidak benarkan orang menyuarakan pandangan mereka, walaupun atas dasar yang kukuh, tetapi dalam isu ini mereka fikir ia memberi keuntungan politik," katanya dalam sidang media selepas memfailkan tuntutan qazaf berkaitan tuduhan liwat di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pagi ini.
"Saya tidak pertikaikan hak sesiapa untuk berhimpun secara aman, saya pertikaikan kebijaksanaan dan kepura-puraan dan kontradiksi Kementerian Dalam Negeri yang hanya membantu menganjurkan demonstrasi yang mereka kehendaki dan memukul orang lain yang mereka tidak senang dengan perhimpunan aman."
Hishammuddin semalam dilaporkan berkata, kerajaan tidak berniat menghalang rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung isu berkenaan, dengan syarat ia tidak menjejaskan keselamatan negara.
Mengulas pandangan menteri itu, Anwar berkata kerajaan sepatutnya cuba menyelesaikan isu ini lebih awal dengan mengadakan perbincangan dengan masyarakat Kristian bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung isu tersebut.
"Sepatutnya dari awal panggil orang Kristian, dengar pandangan dan kekhuatiran orang Kristian dan cari penyelesaian yang sebaik mungkin sebab hal ini tidak boleh dibiar berlanjutan.
"Ia akan menimbulkan ketegangan kaum dan agama yang tidak menguntungkan negara atau politik sesiapa, melainkan orang yang bermaksud mengadu domba di antara kaum dan agama.
"Maksud saya, secara politik, tidak bijak untuk mengadakan apa bentuk perbincangan sekarang ketika emosi sedang memuncak," tambahnya.
Ditanya pendiriannya berhubung penggunaan kalimah Allah bagi orang Kristian, Anwar berkata, perkara itu dibolehkan, berdasarkan pandangan yang diberikan oleh tokoh-tokoh Islam terkemuka.
"Dari segi umum, kesepakatan itu ada, cuma dalam penafsiran ini, ada perbezaan. Ulama-ulama uang kita rujuk, termasuk Dr Yusuf al-Qaradhawi, Dr Wahbah Zuhaili dan Sheikh Taha Jabir, ia dihukum boleh. Tidak boleh melarang (penggunaan kalimah Allah)," katanya.
Walaupun umumnya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bersetuju perkataan Allah boleh digunakan oleh penganut Kristian, mereka bagaimanapun tidak sepakat dalam menangani keputusan mahkamah terhadap Herald The Catholic Weekly , 31 Disember lalu.
Tambah Anwar, kumpulan-kumpulan masyarakat Islam yang membantahnya bimbang penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian dijadikan satu langkah untuk menukar agama orang Melayu.
"Yang membangkitkan isu ini, tidak semua menerima (kalimah Allah digunakan oleh Kristian) ialah aspek Melayu di rantau ini dan aspek pendakwahan Kristian selama ini, yang mencurigai tujuan mereka itu (Kristian) untuk mendakyah orang Islam.
"Sebab itu, isu ini sepatutnya diselesaikan dari awal," katanya lagi.