Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 2.23pm Bantahan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' dalam mingguan Katholik terus marak dengan demonstrasi walaupun kerajaan menyeru semua pihak bertenang dan kes tersebut kini di peringkat rayuan.

Setelah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merancang mengadakan bantahan di seluruh negara Jumaat ini, sebuah lagi persatuan Islam berpengaruh, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) juga akan menganjurkan bantahan yang sama.

Bantahan yang dinamakan 'Satu hati mempertahankan kesucian Islam' diadakan selepas solat di Masjid Negara dan akan diketuai presidennya sendiri Jamaluddin Yusof.

Selain itu, dua NGO Islam berpengaruh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan berhimpun di masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada waktu yang sama.

Pada malam sebelumnya, Pekida juga merancang mengadakan solat hajat di Masjid Negara, tambah seorang pemimpinnya yang enggan dinamakan.

herald the catholic weekly online 241207 Pada 31 Disember lalu, keputusan mahkamah membenarkan majalah Herald The Catholic Weekly menggunakan nama Allah dalam penerbitannya, mengundang reaksi negatif banyak kelompok dalam masyarakat Islam.

Isu tersebut pada mulanya dijangkakan akan reda apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta umat Islam bertenang dan tidak terlalu "memanaskan" isu sensitif tersebut kerana kerajaan akan menanganinya sebaik mungkin.

Sehari selepas arahan Najib dibuat, Pemuda Umno Selangor yang turut bercadang mengadakan perhimpunan besar-besaran Jumaat ini menangguhkan hasrat tersebut.

Bagaimanapun, terdapat ura-ura di laman blog bahawa bantahan di Selangor akan terus dilaksanakan di Masjid Shah Alam oleh satu kumpulan yang menamakan diri mereka Anak-anak Muda Islam Selangor (AMIS).

Manakala bantahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan 13 lagi NGO – yang membuat aduan polis bagi membantah tindakan The Herald menggunakan perkataan Allah – masih belum jelas.

Setiausaha Agungnya Datuk Dr Maamor Osman dilaporkan berkata, jika isu terbabit tidak dapat diselesaikan segera, kesemua NGO tersebut akan mengadakan perhimpunan besar-besaran selepas solat Jumaat di masjid-masjid utama di Kuala Lumpur.

The Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan 'Allah' dalam seksyen bahasa Malaysia sebagai terjemahan perkataan God.

Perkataan 'Allah' digunakan secara meluas di kalangan suku kaum beragama Kristian di Sabah dan Sarawak, yang sebahagian besarnya bertutur dalam bahasa Malaysia, selain bahasa ibunda etnik masing-masing.

Penerbit mingguan itu mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang melarang penggunaan perkataan 'Allah' dalam akhbar itu, di mahkamah pada 16 Februari tahun lalu.

KDN semalam memfailkan permohonan bagi menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu berhubung kebenaran menggunakan kalimah tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS