kemaskini 2.38pm Seorang sarjan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.
N Tharmendran, 42, (foto) daripada Pangkalan Udara TUDM Subang yang berpakaian kemeja berwarna putih hanya mengangguk memahami dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan itu.
Pengarah sebuah syarikat pembekalan, K Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan dengan sengaja membantu menghapuskan barang curi milik TUDM itu.
Hakim Aslam Zainuddin membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Februari ini untuk sebutan kes itu.
Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.
Bagi kesalahan itu dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Rajandran, didakwa dengan sengaja menghapuskan dua enjin milik TUDM, di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang, pada 30 April 2008, mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Ketika ditanya adakah Mohamad Shukri akan didakwa, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata beliau masih belum menerima sebarang arahan.
Mengenai kemungkinan lebih ramai dituduh berkaitan dengan skandal itu, Raja Rozela berkata beliau hanya menerima arahan untuk mendakwa kedua-dua tertuduh sahaja.
Terdahulu, Raja Rozela memohon mahkamah memandang serius kerana barang yang dicuri bukan enjin motosikal tetapi ia adalah enjin pesawat pejuang.
Peguam bela V. Ravichandran yang mewakili Tharmendran dan peguam bela Pritam Singh Deol yang mewakili Rajandran memohon kepada mahkamah agar anak guam mereka itu diberi jaminan yang rendah berikutan kesemua akaun telah dibekukan dan tidak
mempunyai wang yang banyak.
Bagaimanapun, Raja Rozela membantah kerana ia bukanlah faktor utama dalam memohon jaminan.
Rajandran dijamin oleh abangnya sementara Tharmendran gagal membayar jaminan.
Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata semua usaha sedang dilakukan oleh kerajaan untuk mendapatkan semula dua enjin yang hilang itu dengan secepat mungkin yang kali terakhir dikesan di Uruguay.
- Bernama