Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kalimah 'Allah': Nasihat menteri pada penulis blog
Diterbitkan:  Jan 5, 2010 2:56 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom menggesa penulis blog dan laman internet supaya tidak menyiarkan apa-apa yang negatif berhubung isu penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan Katholik, Herald.

Katanya, pihak terbabit khususnya penulis blog dan laman-laman internet harus memelihara batasan yang ditetapkan apabila berkarya supaya tidak mewujudkan ruang negatif yang boleh disalah guna oleh golongan tertentu.

Katanya, ruang-ruang negatif seumpama itu sekiranya disalah gunakan boleh mencetuskan ketegangan di kalangan masyarakat setempat, apatah lagi isu melibatkan agama sangat sensitif untuk diperdebatkan.

    

"Dalam hal ini kita menyeru laman-laman blog termasuk laman-laman lain dalam internet, dan mengharapkan kebijaksanaan mereka agar kesempatan itu tidak digunakan oleh orang lain yang melihat ada ruang negatif yang timbul daripada tulisan-tulisan yang mereka hasilkan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

    

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pertemuan beliau dengan 22 NGO Islam semalam untuk membincangkan pandangan masing-masing berhubung tindakan kerajaan memfailkan rayuan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Herald - The Catholic Weekly.

Beliau berkata, kesemua pihak yang terlibat dalam pertemuan itu sepakat berdiri dan menyokong penuh tindakan kerajaan dan turut menyarankan agar ia dibincangkan mengikut saluran perundangan yang ada, termasuk membawa isu berkenaan kepada Majlis Raja-Raja.

"Dalam saluran perundangan ini, kita ada enakmen kawalan di negeri-negeri, iaitu enakmen yang diwartakan untuk pengawalan dan sekatan terhadap pengembangan agama bukan Islam. Enakmen ini diwartakan kepada semua negeri kecuali Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan," katanya.

Dalam hal ini jelas Jamil Khir, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneruskan dialog bersifat intelektual bersama golongan bukan Islam supaya penggunaan kalimah Allah ini dapat diperjelaskan.

    

"Bukan itu sahaja, kita juga akan jelaskan mengenai kemurnian dan keindahan agama Islam mengikut perundangan dan sejarah Islam itu sediri.

"Untuk umat Islam pula, penjelasan yang lebih dalam akan disampaikan menerusi medium sedia ada seperti khutbah Jumaat dan forum Islam untuk menjaga keharmonian yang sedia terbentuk selama ini," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa kalimah Allah telah lama digunakan dalam kitab suci Injil dan Taurat, beliau berkata penggunaan kalimah Allah pada kitab tersebut tidak berpandukan kepada konteks "lam yalid walam yulad" (tidak beranak dan diperanakkan) yang disebut dalam Surah Al-Ikhlas.

"Dalam kajian yang dibuat tidak ada kitab lain yang menggunakan kalimah ini. Walaupun ajaran Samawi ada menggunakan Allah, tapi bukan dalam konteks yang kita perkatakan sekarang. Bukan dalam konteks "lam yalid walam yulad", jadi kekeliruan akan timbul jika penggunaan itu dialihkan daripada konteks itu," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS