PAS menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif berhubung isu penggunaan kalimah Allah yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.
PAS juga menyatakan kesediaannya untuk menjelaskan isu tersebut kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.
Pendirian tersebut diputuskan dalam mesyuarat lajnah biro politik parti itu di ibunegara malam tadi ekoran keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan "Allah" digunakan dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald.
Keputusan mahkamah tersebut mendapat bantahan meluas pertubuhan Islam di negara ini.
Semalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. Hari ini kementerian itu akan memfailkan permohonan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu yang dibuat pada 31 Disember.
Mesyuarat lajnah PAS itu berlangsung hampir tiga jam, bermula jam 9 malam dan berakhir kira-kira jam 11.45 malam. Selepas selesai, ketua penerangan PAS, Idris Ahmad membaca kenyataan tersebut kepada pihak media.
Setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula berkata kerana sudah lewat malam, maka tiada soal jawab lanjut mengenai perkara itu, selain kenyataan rasmi yang dibaca oleh Idris itu.
Katanya, PAS akan melihat perkembangan isu tersebut dan "selepas ini kita akan jelaskan lagi".
Berikutan adalah kenyataan penuh mengenai pendirian PAS dalam isu berkenaan:
PAS sebagai sebuah parti Islam amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.
PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.
Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.
PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.
Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud: Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.
PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.
PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.