Ahli jawatankuasa PAS pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa golongan yang membantah keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Herald Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya, tidak konsisten dengan pendirian mereka berkaitan isu melibatkan agama Islam.
Beliau yang juga pengerusi lajnah perpaduan nasional PAS pusat, mengaitkan perkara itu dengan satu cadangan sebelum ini untuk menghalang mana-mana pertubuhan "menggunakan Islam" dalam nama pergerakan mereka.
Mujahid dipercayai merujuk kepada kempen Umno sekitar tahun 2000 supaya PAS tidak dibenarkan menggunakan perkataan 'Islam' dalam nama parti itu.
"Golongan inilah yang yang satu ketika dahulu pernah mencadangkan supaya nama Islam dibuang dari dikaitkan kepada mana-mana pertubuhan kerana "menggunakan Islam" untuk kepentingan," tulis Mujahid dalam kolumnya di sebuah portal berita.
"Alhamdulillah, Raja-Raja Melayu menolak cadangan ini bahkan menggalakkan supaya nama Islam dalam pertubuhan digunakan," tambahnya.
Menurut keputusan Majlis Raja-raja pada 22 Mac 2001 itu, "tiada pihak berhak menentukan keIslaman seseorang itu dengan mengenakan syarat-syarat tambahan setelah orang itu menepati rukun Iman dan rukun Islam."
Keputusan yang dibuat berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan itu juga memutuskan supaya "ketentuan ke syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah."
"Asal cadangan ini kerana mereka mahu mengharamkan PAS dari menggunakan nama yang begitu sinonim dengan rakyat Malaysia iaitu Parti Islam Se Malaysia, mungkin mereka cemburu kerana Umno tidak ada sinonim itu," tulis Mujahid lagi.
"Soalnya lagi, sekiranya Umno sanggup menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, mengapa golongan itu juga mahu melarang orang Islam sendiri menggunakan nama Islam untuk pertubuhan mereka sendiri?
"Kalau mereka mendakwa (penggunaan) nama Allah (oleh Herald Catholic Weekly) akan menghina umat Islam, apakah yang lebih hina kalau peruntukan syariat yang dah sedia ada pun mereka tak dapat laksanakan?" tambahnya.
Beliau mendakwa, dalam kes tersebut Umno dilihat menggunakan hujah yang sama seperti yang disuarakan terhadap penggunaan kalimah Allah tetapi dengan matlamat berbeza.
Tambahnya, interpretasi kepada Perkara 3, 11 (4), 12 (2), 130 dan 121 (1A) dalam perlembagaan itu merupakan asas yang kukuh kepada Hakim Lau Bee Lan untuk menyampaikan keputusan tersebut.
Mujahid turut menjelaskan bahawa dalil yang menunjukkan keharusan untuk orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah juga dilihat lebih kukuh berbanding dalil untuk mengharamkannya.
"Ini adalah kerana untuk mengharamkan sesuatu ia perlu kepada ketegasan tanpa ta'wilan, manakala yang mengharuskannya, tidak pula ada ta'wilan kepadanya seperti dalam surah Az Zukhruf ayat 87-89.
"Oleh itu tanpa niat dan alasan menghina kalimat Allah hukum menurut Islam tiada halangan," katanya yang tidak ada masalah dengan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam, namun turut menghormati hak mana-mana pihak untuk mempertahankan pandangan mereka secara perundangan.
Bagaimanapun, katanya, beliau membenci golongan yang berhujah 'atas kebenaran' untuk matlamat kebatilan, iaitu mencapai maksud politik sempit, opportunis dan musang berbulu ayam.