Kes jenayah rogol di Kelantan khususnya membabitkan golongan kanak-kanak bawah umur semakin membimbangkan apabila negeri itu mencatatkan peningkatan 25 peratus atau 313 kes tahun lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata 60 peratus daripada jumlah kes rogol dilaporkan sepanjang tahun lepas di negeri itu membabitkan mangsa berumur bawah 16 tahun.
"Sebanyak 23 kes rogol membabitkan mangsa bawah 12 tahun, 165 kes (umur 13 hingga 16 tahun) dan 125 kes melibatkan mangsa 16 tahun ke atas," katanya kepada pemberita pada perjumpaan khas dengan wartawan Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kota Bharu semalam.
Katanya, jajahan Kota Bharu mencatatkan jumlah kes rogol paling tinggi, diikuti jajahan Pasir Mas dan Pasir Puteh.
Melalui hasil kajian, Abdul Rahim berkata polis mendapati kejadian kes rogol berlaku disebabkan pergaulan bebas dan faktor suka sama suka.
Bagaimanapun, katanya, pada keseluruhannya, kadar indeks jenayah di Kelantan mencatatkan penurunan sebanyak enam peratus atau 7,306 kes tahun lepas berbanding 7,749 kes pada tahun sebelumnya.
Beliau menyifatkan penurunan tersebut kerana hasil peningkatan mutu kerja semua anggota polis serta kerjasama orang ramai membanteras jenayah.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata pihaknya masih mengkaji sama ada untuk meneruskan program pondok polis mini atau "bit base" di bandar Kota Bharu yang dihentikan sejak dua bulan lepas.
Katanya, sepanjang tempoh percubaan selama tiga bulan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membelanjakan RM450,000 termasuk bayaran sewa khemah dan elaun anggota yang bertugas.
"Jika kajian itu mendapati ia berkesan untuk membendung kegiatan jenayah, maka program itu dijangka dimulakan semula bulan depan," katanya.
- Bernama