Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tok Mat' meninggal dunia
Diterbitkan:  Jan 1, 2010 12:21 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Mantan menteri penerangan Tan Sri Mohamed Rahmat meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pagi ini.

Allahyarham, yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 pada Isnin depan, dilaporkan meninggal dunia dalam tidur.

Selepas lama bersara daripada kerajaan dan parti, bekas setiausaha agung Umno itu baru-baru ini menerbitkan sebuah buku Umno: Akhir Sebuah Impian yang mengisahkan pergolakan politik parti itu dalam mengekalkan kuasa.

Beliau, yang lebih popular dikenali 'Tok Mat', mula menyertai Umno sejak 1963 dan terpilih menjadi ahli parlimen dalam pilihan raya umum enam tahun kemudian.

Kawasan parlimen itu kini dinamakan Pulai dan dikuasai anaknya Datuk Nur Jazlan selama dua penggal mulai 2004.

Menurut Bernama , anak sulungnya itu berkata bapanya disedari meninggal dunia pada kira-kira 8 pagi ini ketika ibunya Salbiah Abdul Hamid mengejutnya bangun daripada tidur.

"Beliau meninggal dalam tidur," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman bapanya hari ini.

Nur Jazlan berkata allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas Asar.

Menurut agensi berita itu lagi, allahyarham menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.

Pemimpin veteran Umno itu menjadi menteri penerangan sebanyak dua kali iaitu dari 1978 hingga 1982 semasa kepimpinan Tun

Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf menteri dari 1982 hingga 1984.

Selain itu, allahyarham menyandang jawatan setiausaha agung Umno sejak 1988 hingga 1996 dan setiausaha agung BN dari 1988 sehingga 1999.

Semasa menjadi menteri penerangan, allahyarham memperkenalkan Program "Setia Bersama Rakyat" (Semarak) sewaktu kepemimpinan Dr Mahathir sedang menerima kritikan hebat susulan pergolakan teruk dalam Umno.

Ketegasannya dapati dirasai antaranya dalam isu disiplin artis tempatan apabila mengarahkan penyanyi rock memotong rambut

panjang mereka jika mahu menyertai program di RTM.

Mereka yang mematuhi arahan itu antaranya kumpulan rock Wings dengan penyanyi utamanya Awie dan kumpulan Search dengan penyanyi utamanya Amy.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS