Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2010 disambut meriah, warna-warni
Diterbitkan:  Jan 1, 2010 11:16 AM
Dikemaskini: 4:19 AM

Pertunjukan bunga api warna-warni, muzik dan tarian bergema di bandar raya Kuala Lumpur malam tadi ketika berpuluh ribu orang berpesta menyambut kedatangan Tahun Baru 2010.

Jalan-jalan utama ditutup bagi membolehkan pengunjung mengucapkan selamat tinggal kepada 2009 dan bersama-sama mengikuti "countdown" ke Tahun Baru sambil artis-artis tempatan dan antarabangsa mempersembahkan hiburan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menyertai lebih 20 ribu rakyat Malaysia yang membanjiri dataran itu bagi menyambut ketibaan Tahun Baru 2010 serta menyaksikan Konsert Ambang 2010 Kuala Lumpur anjuran AmBank Group, sebelum majlis mengira detik Tahun Baru 2010 pada tengah malam bermula.

Laungan "Selamat Tahun Baru" dan "Satu Malaysia" berkumandang di udara sebaik saja jam berbunyi tepat 12.00 tengah malam.

Di saat itu, Dataran Merdeka digegarkan dengan dentuman bunga api, menjadikan langit dihiasi dengan cahaya berwarna-warni.

Turut hadir menyaksikan konsert ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Artis rock sensasi, Amy Search dan Ella menjadi tarikan utama pada konsert itu, yang turut menampilkan kumpulan rock popular Hujan, Bunkface, Bhangra Gold Kartz, the Singing Shop dan persembahan tarian dari DBKL.

Orang ramai termasuk pelancong asing mula membanjiri Dataran Merdeka seawal jam 5.30 petang.

Seorang pelancong asing, Siddharth Sharma, 27, dari New Delhi, India berkata beliau mendapat tahu sambutan meraikan kedatangan tahun baru 2010 di Malaysia terutamanya di Kuala Lumpur merupakan yang terbaik serta meriah dan sengaja merancangkan bulan madu bersama isterinya.

"Kami baru tiba pagi ini dan akan kembali ke India pada 7 Jan," kata Sharma kepada Bernama.

Seorang rakyat tempatan Rahimaton Nurul Ain Abu Seman, 24, kakitangan awam yang datang pertama kali ke Dataran Merdeka bersama sekumpulan rakannya, berkata beliau memilih untuk menyambut ketibaan tahun baru di sini kerana ia merupakan tempat bersejarah ditambah dengan suasana yang meriah dengan kehadiran pelancong asing serta mendapat liputan secara langsung di televisyen.

Ada pengunjung yang sanggup berjalan jauh selepas meletakkan kenderaan di kawasan tempat letak kenderaan yang disediakan selepas polis mengeluarkan arahan akan menunda kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.

Ramai juga yang datang dengan menaiki pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) yang dilanjutkan perkhidmatannya sehingga pukul 2 pagi.

Sementara itu, kawasan Jalan Bukit Bintang meriah dengan 'Street Party Countdown 2010 Celebration' yang dijayakan oleh artis-artis tempatan dan asing di hadapan pusat beli-belah Plaza Sungei Wang.

Kira-kira 15,000 orang rakyat tempatan dan pelancong asing membanjiri kawasan sekitar Jalan Bukit Bintang di persimpangan lampu isyarat di hadapan Bangunan Yayasan Selangor yang ditutup kepada semua kenderaan sejak awal pagi tadi.

Polis turut berada di kawasan sekitar bagi mengawal keadaan.

Ada di antara peniaga mengambil kesempatan dengan menjual minuman dan makanan ringan di sekitar kaki lima.

Masjid Asyakirin di KLCC turut membuat program sambutan ambang dengan mengadakan ceramah bertajuk "Diari Kehidupan".

Ketua imam masjid tersebut Mohd Abdul Nasir Abdullah berkata memang setiap ambang tahun mereka membuat program seperti itu.

Pemuda PAS juga tidak ketinggalan membuat program expedisi dakwah "Ziarah Kasih" tertumpu di KLCC dan sekitar ibu kota, antaranya Bintang Walk, Dataran Merdeka dan Titiwangsa.

Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan berkata program itu bertujuan memastikan tiada perbuatan maksiat berlaku di kalangan anak muda.

Di Menara KL, 10 penerjun membuat terjunan tanpa henti mulai jam 9 malam hingga 1 pagi. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS