Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan negeri Kelantan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang memerintahkannya membayar RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan.

"Kita akan minta peguam kita lihat keputusan ini dan kita akan buat rayuan," kata exco kanan kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Kerajaan negeri itu semalam diperintahkan membayar jumlah tersebut kepada Timbermine Sdn Bhd kerana melanggar perjanjian yang dibuat antara kedua-duanya.

Menurut laporan akhbar hari ini, kerajaan negeri diperintah membayar membayar RM800 juta kepada Timbermine Sdn Bhd kerana melanggar beberapa perjanjian yang ditandatangani 35 tahun lalu.

Jumlah ganti rugi itu termasuk RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat dalam kawasan pembalakan seluas 112,000 hektar, ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja yang diberhentikan (RM1.74 juta), faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000.

"Perjanjian ini dibuat pada 1964, kemudiannya dibatalkan pada Mac 1975 di bawah pentadbiran kerajaan BN. Menteri besar BN pada masa itu ialah Datuk Mohamed Nasir," kata Husam ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Jelasnya lagi, Timbermine mula mengambil tindakan ke atas kerajaan negeri selepas perjanjian melibatkan hak pembalakan itu dibatalkan oleh Mohamed Nasir pada 1975.

"Kerajaan negeri kemudian menubuhkan jawatankuasa perunding untuk berunding dengan syarikat itu dengan diketuai menteri penerangan dan tugas-tugas khas Tengku Ahmad Ritahaudeen," kata Husam lagi.

Jelasnya, hasil rundingan pada Julai 1975, syarikat tersebut bersetuju menyelesaikan kes itu dengan pampasan sebanyak RM3.5 juta.

Susulan daripada itu, sebuah anak syarikat baru ditubuhkan di mana kerajaan negeri mempunyai kepentingan sebanyak 70 peratus dan selebihnya dipegang oleh Timbermine, kata Husam lagi.

Isu melibatkan tuntutan kawasan pembalakan kemudiannya memuncak pada 1977, mengakibatkan menteri besar Mohamed Nasir digulingkan oleh PAS Kelantan, ketika parti itu masih lagi menyertai BN.

Negeri tersebut kemudiannya dikawal melalui undang-undang darurat bawah Majlis Gerakan Negara sebelum diperintah BN antara 1978 hingga 1990.

"Kemudian kita difahamkan saman dikemukakan pada 2004," kata Husam lagi.

ADS