Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: SPRM sahkan 'tiada kes' terhadap Norza
Diterbitkan:  Dec 29, 2009 4:57 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Mahkamah Sesyen Temerloh dimaklumkan bahawa seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghantar surat kepada Umno mengatakan bahawa suruhanjaya itu "tidak ada kes" terhadap Datuk Norza Zakaria, bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan yang sedang menghadapi tuduhan rasuah.

Bekas setiausaha kerja Umno, Brig Jen (B) Datuk Husainy Hashim, saksi kelima pendakwaan bagi kes perbicaraan rasuah membabitkan Mohamad Norza dan ejennya Halimi Kamaruzzaman, berkata surat berkenaan telah diserahkan kepada Majlis Tertinggi Umno.

Bagaimanapun timbalan pendakwa raya Saiful Edris mendakwa keterangan oleh saksi berkenaan dibuat kerana didorong oleh peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Norza.

Saiful, yang menyoal balas Husainy, bertanyakan siapa yang menandatangani surat berkenaan kerana sebelum itu beliau memberi keterangan bahawa beliau "rasa ada surat berkenaan".

"Datuk Shukri (yang menandatangani surat itu), saya tak ingat nama penuhnya, dia seorang pegawai tinggi SPRM," kata Husainy yang turut tidak mengingati tarikh surat berkenaan.

Saiful kemudiannya berkali-kali meminta Husainy mengingati siapa "Shukri" berkenaan.

Muhammad Shafee kemudian mencelah: "Berapa ramai "Shukri" dalam SPRM?"

Pengarah Siasatan SPRM ialah Shukri Abdull.

Husainy, 64, berkata mengikut surat berkenaan, SPRM meminta Umno sendiri membuat siasatan dalaman dan SPRM tidak ada kes terhadap Norza.

Ketika soal balas sebelum itu, Muhammad Shafee berkata Husainy, yang juga anggota sekretariat Umno yang meneliti kes-kes politik wang, juga telah memaklumkan bahawa Lembaga Disiplin Umno turut mendapati Norza tidak bersalah.

Saiful kemudian menyoal balas Husainy: "Datuk, Lembaga Disiplin kata tidak bersalah, tapi tak semestinya orang itu tidak bersalah.

"Ada Datuk sedar ada agensi lain yang masih boleh lakukan siasatan juga?

"Saya sedar," kata Husainy.

Perbicaraan kes itu yang bermula 10.30 pagi terpaksa ditangguhkan lebih awal kerana bekalan elektrik terputus pada 11.19 pagi.

Pada mulanya perbicaraan tetap diteruskan sehingga 1 tengah hari tetapi keadaan kurang selesa menyebabkan hakim Azuar Che Yusof menangguhkannya ke 1 Feb tahun depan.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada anggota perwakilan sebagai dorongan untuk mengundi beliau memenangi dalam pemilihan bagi kerusi Majlis Tertinggi pada perhimpunan agung Umno, Mac lepas.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan pada 6.30 petang 20 Januari lepas di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di Temerloh. BERNAMA

ADS