kemaskini 4.44pm Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (BANTAH) mempertingkatkan kempennya menentang sistem pengundian berkomputer (e-undi) yang digunakan di beberapa kampus universiti awam, terbaru bakal dilaksanakan di Universiti Malaya.
Dengan kerjasama Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM), satu forum bagi membantah sistem tersebut dijadual diadakan di Akademi Pengajian Islam (API) pada 1 Januari ini.
Pensyarah terkenal Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Abdul Aziz Bari, wakil rakyat PKR Chang Lih Kang dan exco Persatuan Mahasiswa Islam UM Mohd Shafie Hashim akan membahaskan kontroversi tersebut pada forum 'E-Undi dan Masa Depan Demokrasi Kampus'.
Bercakap kepada Malaysiakini pagi ini, exco MPMUM Mohd Aizat Mohd Salleh berkata forum tersebut merupakan kemuncak program BANTAH menentang sistem e-undi yang akan diperkenal pada pilihan raya kampus tersebut, pertengahan bulan depan.
BANTAH, yang diketuai Mohd Aizat, ditubuhkan atas daya usaha kumpulan siswa dari UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ia diwujudkan selepas UM dan Universiti Utara Malaysia (UUM), yang telah melangsungkan pilihan raya kampus Oktober lalu, memperkenalkan kaedah pengundian elektronik.
Kaedah e-undi mula diperkenalkan di UPM pada 2003 dan kemudian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) - juga dalam suasana penuh bantahan.
Selain menerima bantahan bertubi-tubi daripada beberapa kumpulan pelajar sejak ia diperkenalkan, kumpulan pelajar UPM sendiri pernah memulaukan pilihan raya kampus mereka selama dua tahun berturut-turut pada 2005 dan 2006.
UKM, UPM, UIA dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dijangka mengadakan pilihan raya kampus masing-masing bulan depan. Tiada ura-ura pelaksanaan e-undi di UKM, UTM dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Mohd Aizat menambah, pihaknya kini sedang membuat persiapan untuk memastikan forum yag dirancang mulai 8.30 malam itu menjadi lancar.
Tambahnya, Abdul Aziz dan Chang sudah menyatakan persetujuan mereka untuk hadir.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Perisian UM Dr Chiew Thiam Kian membatalkan hasratnya sebagai pembicara di forum itu atas sebab-sebab tertentu, kata Mohd Aizat.
Mulai Oktober lalu, BANTAH mengadakan kempen penerangan mereka di kampus seluruh negera, termasuk menghantar memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin.