kemaskini 4.13pm Menteri besar Kelantan bercadang menukar dua orang pegawainya sehingga mencetuskan spekulasi baru di negeri itu, demikian menurut dua penulis blog.
Satu sumber penulis blog memberitahu Malaysiakini hari ini, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengumumkan pengunduran setiausaha politiknya Anual Bakhri Haron dan juga setiausaha akhbarnya Mohd Saiba Yaakob.
Tarikh pengumuman itu bagaimanapun tidak dinyatakan, katanya dengan mendakwa mendapat mesej SMS daripada salah seorang setiausaha tersebut.
Usaha mendapatkan ulasan Anual Bakhri, bekas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) itu yang telah berkhidmat genap sedekad dengan Nik Abdul Aziz, setakat ini belum berjaya.
Blog yang sering mengulas isu parti itu Penarik Beca pula menyebut khidmat pegawai Nik Abdul Aziz itu bakal berakhir pada 1 Januari ini - alasannya Anual Bakhri dekat dengan Datuk Husam Musa.
Exco kewangan dan perancangan ekonomi itu sering didakwa terlibat dalam kontroversi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui oleh Abdul Ariffahmi Ab Rahman, menantu Nik Abdul Aziz.
Husam sendiri, bekas setiausaha menteri besar itu, bagaimanapun tidak pernah mengulas isu tersebut dan hanya menafikan beliau renggang dengan mentornya.
Menurut penulis blog itu lagi Abu Bakar Mohd Rashid, kontrak Mohd Saiba akan ditamatkan pada 3 Februari tahun depan.
Bagaimanapun setakat ini tidak jelas rombakan pegawai menteri besar dibuat berkaitan dengan kontroversi yang kini melingkari Nik Abdul Aziz atau sebab-sebab lain.
Selain isu menantunya, tokoh PAS itu juga berdepan dengan isu tajaan haji kepada dirinya dan anggota keluarganya sehingga mencecah ratusan ribu ringgit tetapi ia tidak diterima selepas media mendedahkannya.
Ketika dihubungi petang ini, setiausaha perhubungan PAS Kelantan berkata desas-desus itu turut kedengaran tetapi "tidak rasmi" kerana tiada hitam-putih.
"Perkara itu sekadar cakap-cakap sahaja," kata Mohd Zaki Ibrahim apabila diminta penjelasan berhubung ura-ura tersebut.
Dewan Harian PAS negeri akan bertemu esok tetapi isu tersebut belum pasti akan dibincangkan, tambahnya.
"Saya tidak tahu, terserah kepada menteri besar," kata Mohd Zaki lagi.
Exco Pemuda PAS Zamakhshari Muhamad, yang disebut-sebut bakal menggantikan Anual Bakhri, menafikan menerima jawatan tersebut.
Beliau, yang juga pengurus sebuah anak syarikat PMBK, turut hadir dalam satu mesyuarat dengan Nik Abdul Aziz pagi ini tetapi menteri besar itu tidak pula menyebutkan perkara tersebut, katanya kepada Malaysiakini .