Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar tidak boleh 'pancing info' kes liwat
Diterbitkan:  Dec 24, 2009 7:20 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

Seseorang tertuduh yang menghadapi dakwaan jenayah tidak dibenarkan "memancing maklumat" kepunyaan pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu pada 6 Nov ketika membenarkan rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya dokumen dan maklumat lain yang diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Seksyen 51 dan 51A Kanun Prosedur Jenayah dibekalkan untuk beliau menyediakan pembelaan terhadap tuduhan liwat terhadapnya.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 21 Dis yang diperoleh media hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hasan Lah memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memerintahkan pendakwaan supaya membekalkan dokumen dan bahan berkenaan kepada Anwar.

Mahkamah Rayuan berkata ia mentafsirkan dengan tegas Seksyen 51 kanun berkenaan dan mengehadkan kuasa budi bicaranya berhubung permohonan untuk memperoleh dokumen berkenaan di peringkat pra perbicaraan.

"Melainkan apa yang diperuntukkan mengikut Seksyen 51A kanun berkenaan, responden tidak berhak untuk memperoleh atau memeriksa keterangan atau bahan yang berada dalam pemilikan pendakwaan sebelum perbicaraan bermula," kata Hakim Hasan.

Pada 6 Nov lepas, Hasan, yang mengetuai panel terdiri daripada Hakim Datuk Abu Samah Nordin dan Datuk Sulaiman Daud, sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintah mereka supaya membekalkan dokumen penting kepada Anwar.

Anwar memfailkan notis usul pada 10 Jun tahun ini untuk mendesak pendakwaan supaya menyediakan kepadanya dokumen dan bahan berkenaan termasuk rakaman kenyataan saksi iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia, laporan perubatan dan sampel DNA.

Anwar, yang didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari, 24, bekas pembantu peribadinya, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun tahun lepas, menegaskan bahawa dokumen itu penting dan mustahak untuk beliau menyediakan pembelaannya.

Pada 16 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan Anwar itu yang dibuat mengikut Seksyen 51 dan 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Hakim Hasan berkata Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memerintahkan pendakwaan supaya membekalkan Anwar dengan dokumen dan bahan berkenaan memandangkan ia berada di luar skop Seksyen 51 kanun berkenaan.

"Kami berpendapat bahawa tujuan permohonan responden untuk mendapatkan rakaman CCTV yang didakwa diambil dari pondok pengawal di kondominium berkenaan semata-mata untuk memancing maklumat. Responden oleh itu tidak berhak untuk memperoleh rakaman asal CCTV sebelum perbicaraan bermula," katanya.

Mengenai isu berkaitan bahan-bahan yang dipohon oleh Anwar mengikut Seksyen 51A, Hakim Hasan berkata seksyen itu merujuk kepada dokumen sahaja, oleh itu mahkamah berkenaan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya slaid dan gambar mengenai ujian DNA itu dibekalkan.

Anwar diwakili oleh peguam Karpal Singh dan 11 peguam lagi, manakala pasukan pendakwaan diketuai oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden.

Perbicaraan kes liwat itu ditetapkan mulai 25 Jan tahun depan. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS