Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco: Ambil alih Bukit Botak langkah terbaik
Diterbitkan:  Dec 23, 2009 3:42 PM
Dikemaskini: Dec 24, 2009 5:07 AM

Keputusan kerajaan Selangor untuk mengambil alih tanah kawasan Bukit Botak adalah atas dasar tanggungjawab ke atas peneroka di situ yang telah ditindas hak perumahan mereka selama 20 tahun oleh kerajaan terdahulu, kata exconya Iskandar Samad.

“Langkah ini adalah terbaik kerana ianya akan memberi kuasa sepenuh kepada kerajaan negeri untuk mengatasi masalah projek terbengkalai ini dan seterusnya membangunkan semula kawasan itu secara keseluruhan,” katanya.

Iskandar adalah pengerusi jawatankuasa perumahan, pengurusan bangunan dan setinggan negeri Selangor.

Beliau juga meminta mereka yang mempunyai persoalan mengenainya supaya berhubung terus dengan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat di kawasan berkenaan ataupun pejabat Exco untuk mendapatkan penerangan lebih jelas dan tepat.

“Kami sentiasa bersikap terbuka untuk menerima cadangan dan pandangan pelbagai pihak agar masalah ini dapat diselesaikan secara baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar, pentadbiran BN terdahulu telah gagal menangani isu setinggan Bukit Botak selama 20 tahun sehingga masalah yang dihadapi oleh peneroka kawasan itu kini menjadi makin rumit.

“Seandainya keadaan ini dibiarkan berterusan ataupun dibangunkan oleh kontraktor lantikan persendirian, kerajaan negeri bukan sahaja tidak dapat menjamin kepentingan keseluruhan peneroka, malah seramai 237 penduduk tidak dapat memiliki rumah akibat ketidaksesuaian tanah.

“Tambahan pula jawatankuasa pemutihan Bukit Botak yang ditubuhkan kerajaan negeri Julai lalu, telah mendapati terdapat 106 peneroka yang telah tersisih daripada penyelesaian yang dilakukan oleh kerajaan yang lepas.

"Maka mereka ini perlu juga mendapat pembelaan yang sewajarnya,” tegas Iskandar.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan memilih syarikat pemaju melalui tender terbuka bagi memastikan hanya yang mampu dan layak sahaja, dipilih untuk membangunkan projek terbengkalai ini.

Di samping itu, Iskandar tidak menolak kemungkinan pihak yang cuba mengelirukan kumpulan peneroka dan orang awam mengenai niat baik kerajaan negeri untuk membangun semula Bukit Botak.

“Tindakan mereka yang kononnya untuk membantu para peneroka adalah semata-mata untuk menutup kegagalan dan kepincangan kerajaan yang lepas menyelesaikan masalah rakyat,” tambahnya.

ADS