Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 5.15pm Ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan - yang tegas mendesak pengunduran segera menantu Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai peneraju Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) - meletakkan semua jawatannya dalam parti hari ini.

Dr Rosli Allani Abd Kader bagaimanapun berundur bukan kerana kegagalan Pemuda PAS negeri mengadakan mesyuarat berhubung peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif PMBK, Abdul Ariffahmi Ab Rahman.

Sebaliknya, kata beliau, ia berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu - yang memerintahkannya tinggal berasingan dengan isteri keduanya - bagi mengelakkan masalah peribadinya menjejaskan imej PAS.

Dr Rosli mengumumkan peletakannya itu dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Kota Bharu tengah hari ini.

Jawatan lain yang disandang bekas exco pusat Pemuda PAS itu termasuk anggota badan perhubungan PAS Kelantan dan ketua penerangan Pemuda PAS Kota Bharu.

Ketika dihubungi Malaysiakini selepas sidang media itu, beliau mengesahkan peletakan jawatan itu dan sebab beliau meletakkan jawatan.

Beliau mendapat perintah mufarakah atau berpisah sementara dengan isterinya Ilyani Mohd Noor kerana perkahwinannya pada Disember tahun lalu diragui oleh bapa mertuanya.

Dr Rosli berkata, beliau telah memaklumkan keputusannya itu kepada ketua Pemuda PAS negeri, Abdul Latif Abdul Rahman, dan akan menghantar surat rasmi dengan segera.

Tambahnya, selepas melepaskan semua jawatannya dalam parti, beliau mahu mengambil peluang membersihkan namanya.

Mengulas kesnya di mahkamah tersebut, Dr Rosli menuntut media yang didakwanya membuat laporan dengan menggambarkan Ilyana “dikahwini secara tidak sedar” dan “dikahwini dengan niat tidak baik” memohon maaf dengan segera.

Tambahnya, jika tiada sebarang permohonan maaf dibuat dalam tempoh tiga hari, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap media terbabit.

Ditanya sama ada peletakan jawatannya berkaitan dengan isu Abdul Ariffahmi, Dr Rosli enggan mengulas perkara itu.

Walaupun beliau dilihat begitu tegas menekan Abdul Ariffahmi, juga seorang exco Pemuda PAS Kelantan, agar berundur daripada PMBK tetapi mesyuarat untuk menolak menantu Nik Aziz itu gagal diadakan petang semalam seperti dijadualkan.

Difahamkan usaha Pemuda PAS negeri, yang dilaporkan lebih awal di akhbar, menyebabkan sebilangan pemimpin kanannya memilih "jalan selamat."

ADS