Hasrat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengkategorikan jawatan pemandu lokomotif bagi mengendalikan keretapi elektrik barunya Electric-Train-Set (ETS) sebagai "eksekutif" ditolak oleh kesatuan sekerjanya.
Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB (KPPKTMB) berkata, pengkelasan baru itu menyebabkan pemandu berkenaan hilang faedah-faedah yang dijamin dalam perjanjian bersama (CA).
"Cadangan baru dengan gred eksekutif yang dicetuskan oleh presiden KTMB (Dr Aminuddin Adnan) dengan nyata menghakis faedah pekerja," kata presiden kesatuan itu Abdul Razak Md Hassan.
Dalam satu kenyataannya hari ini, beliau mencadangkan kenaikan pangkat tersebut dikekalkan dalam gred bukan eksekutif, dengan gred baru yang lebih baik atau sama taraf dengan gred sedia ada.
Abdul Razak juga menempelak pengurusan KTMB yang didakwa mengetepikan kesatuan sekerja berhubung pelaksanaan idea-idea baru syarikat, termasuk projek ETS.
Sebanyak 20 pemandu diperlukan bagi mengendalikan lima set ETS yang akan mula beroperasi April ini, menghubungkan Kuala Lumpur dan Ipoh.
KPPKTMB turut menentang usaha meletakkan pengoperasian ETS sebagai anak syarikat KTMB kerana ia didakwa menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja.