Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gerakan bidas Umno mahu singkir Tsu Koon
Diterbitkan:  Dec 21, 2009 3:33 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

kemaskini 7.15pm Gerakan Pulau Pinang hari ini membidas suara-suara yang memperkecilkan parti itu dengan menegaskan ia telah memainkan peranan utama sejak Pulau Pinang diketuai oleh DAP.

"Kami selama ini sentiasa menyokong dan melengkapkan tugas semua wakil rakyat BN setiap kali DUN bersidang," kata pemangku pengerusinya Teng Chang Yeow.

"Lagipun, kami terus mendesak kerajaan negeri yang dikepalai DAP agar bertanggungjawab terhadap keputusan mereka sejak 8 Mac (pilihan raya umum lalu).

"Untuk menyatakan Gerakan tidak lagi aktif di Pulau Pinang memang tidak masuk akal."

Beliau mengulas usaha Umno merebut jawatan pengerusi BN Pulau Pinang, yang kini disandang oleh Tan Sri Koh Tsu Koon, bekas ketua menteri yang juga presiden Gerakan.

Dalam satu kenyataannya, Teng berkata usaha keras parti itu tidak kurang daripada sumbangan Umno.

"Malah, Umno Pulau Pinang memburukkan BN di negeri ini secara keseluruhannya apabila membuat desakan tersebut sedangkan mereka tahu pada kebiasaannya selama ini Gerakan menerajui BN negeri selama 35 tahun dan sebarang perubahan tidak akan boleh diterima oleh Gerakan," katanya lagi.

Teng menggesa pemimpin-pemimpin Umno agar memberikan tumpuan untuk mengambil alih negeri tersebut dan bukannya berebut jawatan sesama sendiri.

"Dan bagaimana BN boleh mendapat semua kerajaan negeri jika kita (BN) terus berebut sesama sendiri," tambahnya.

Sabtu lalu, pengerusi Umno negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga naib presiden parti itu, dilaporkan berkata jawatan berkenaan perlu diserahkan kepada Umno dalam usaha mengukuhkan kedudukan BN di peringkat negeri.

Menurutnya, permintaan itu munasabah kerana "hanya wakil Umno telah memenangi semua kerusi yang dikuasai BN di negeri itu" dan "parti komponen lain tidak ada satu kerusi pun" dalam pilihan raya umum lalu.

Koh bagaimanapun dilaporkan menolak permintaan Ahmad Zahid untuk berbuat demikian, antaranya, dengan alasan jawatan tersebut telah disandang oleh Gerakan selama lebih tiga dekad.

Manakala timbalan pengerusi badan perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman pula berharap Koh menilai permintaan Umno "secara positif" kerana ia mempunyai rasionalnya.

"Jawatan tersebut bukannya hak turun-temurun atau hak seumur hidup kepada mana-mana individu mahu pun parti, maka adalah tidak salah permintaan yang dibuat Umno Pulau Pinang itu dipertimbangkan sebaik-baiknya," beliau dipetik berkata.

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan, Koh berkata parti itu menghormati nasihat Datuk Seri Najib Razak supaya perbincangan terbuka mengenai isu tersebut wajar dihentikan.

Bercakap di lobi Parlimen hari ini, Koh berkata perdana menteri juga sudah memberi nasihat kepada semua pihak yang terlibat mengenai perkara itu.

Terdahulu, di Putrajaya, Najib berkata beliau tidak mahu parti komponen BN terus berdebat mengenai permintaan Umno Pulau Pinang agar jawatan itu diberikan kepada parti tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS